Nasional

100% populasi dewasa Labuan divaksin penuh pencapaian membanggakan

KEJAYAAN Labuan memberikan suntikan vaksinasi penuh kepada 100 peratus populasi dewasa di wilayah itu merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, kejayaan memberi suntikan vaksin kepada lebih 68,500 penduduk dewasa di Labuan turut memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia dalam perang menentang COVID-19.

Menurut bekas perdana menteri itu, kejayaan Labuan membuktikan bahawa usaha dan perancangan Kerajaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kini mula menunjukkan hasil.

“Berkat usaha semua pihak baik Kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta dan juga rakyat, saya percaya Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat dalam mencapai imuniti kelompok, sekaligus memulihkan ekonomi negara.

“Tahniah kepada penduduk Labuan. Terus patuhi SOP dan teruskan kawalan risiko kendiri untuk memastikan penularan wabak COVID-19 sentiasa terkawal.

“Insya-Allah, saya yakin negeri-negeri lain juga akan dapat mencapai kejayaan ini dalam masa terdekat,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Labuan berjaya mencapai kadar 100 peratus vaksinasi penuh kepada populasi dewasa di Wilayah itu pada 7 September lalu.

Strategi Kerajaan dalam mempertingkatkan kadar vaksinasi ketika kes meningkat di Labuan sekitar Mei dan Jun lalu terbukti berkesan apabila Labuan berjaya mencatatkan penurunan kemasukan pesakit COVID-19 di hospital.

Melalui strategi tersebut penggunaan penggunaan katil di unit rawatan rapi dan alat bantuan pernafasan turut berkurangan di Labuan.

“Sepertimana yang kita semua maklum, Labuan merupakan wilayah pertama yang berjaya beralih ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Warga Labuan kini dapat menikmati kelonggaran di semua sektor ekonomi dan sosial tertakluk kepada SOP dalam norma baharu.

“Pencapaian ini sememangnya tidak dapat dicapai tanpa kerja keras Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), ditambah kerjasama erat kesemua agensi kerajaan, Majlis Perwakilan Penduduk serta rakyat Labuan,” kata Muhyiddin.

Tambah beliau, negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 2 bermula Jumaat ini.

Dengan kelonggaran yang diberikan, Muhyiddin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang yang ditetapkan.

“Mari kita terus berusaha dan berdoa agar #KeluargaMalaysia terus berjaya dalam perang menentang COVID-19,” kata beliau.-SM

(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button