Nasionalpilihan

Pasangan kekasih ditahan terlibat proses dan edar biskut, kek ganja

Pasangan kekasih masing-masing berusia 34 dan 28 tahun ditahan kerana terlibat dengan sindiket memproses dan mengedar biskut dan kek yang mengandungi dadah jenis ganja.

Kedua-dua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Storm yang dilakukan kira-kira 3.50 petang kelmarin.

Serbuan pertama dijalankan ke atas sebuah kereta jenis Honda City yang berada di hadapan lobi sebuah residen di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Menerusi serbuan tersebut, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas dua buah kotak dan satu beg kertas yang mengandungi 25 balang biskut berasaskan ganja (7.5 kg) dan 53 kek berasaskan ganja (5.3 kg).

Siasatan kepada suspek pertama telah membawa kepada serbuan kedua di sebuah residensi di kawasan PJ Midtown, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya dan berjaya menahan seorang wanita.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah 131 balang biskut berasaskan ganja (35kg), 41 kek berasaskan ganja (4.3kg), lapan ketulan mampat ganja, empat periuk berisi cecair ganja, dua ketuhar elektrik dan sebuah mesin pengadun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, hasil siasatan mendapati pasangan kekasih itu menjadikan rumah mereka sebagai tempat memproses kek dan biskut berasaskan ganja.

“Premis tersebut disewa selama lapan bulan oleh suspek lelaki dengan bayaran sewa RM3,000 sebulan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan bekalan dadah jenis ganja dan seterusnya memproses sendiri dadah tersebut untuk dijadikan kek dan biskut sebelum dipasarkan dengan harga RM100 bagi sebalang biskut serta RM50 bagi sebiji kek seberat 100 gram.

“Pelanggan sindiket ini terdiri daripada kenalan rapat suspek lelaki di dalam media sosial iaitu Instagram,” katanya.

Selain tangkapan, pihaknya turut menyita wang tunai berjumlah RM11,790 dan sebuah kenderaan jenis BMW X3. Nilai keseluruhan sitaan termasuk dadah berjumlah RM491,089.

Jelasnya, menerusi tangkapan ini, pihaknya telah menumpaskan kegiatan memproses dan mengedar kek serta biskut berasaskan dadah jenis ganja yang dikesan aktif selama lima bulan di sekitar Lembah Klang.

“Suspek lelaki ditahan reman selama enam hari sehingga 13 September manakala suspek wanita pula selama tujuh hari sehingga 14 September depan,” katanya.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. -SM

(Visited 767 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button