fbpx
Ekonomi

10.77 juta orang terima BPN, peruntukan RM11.5 bilion

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) daripada kumpulan pertama sehingga ketiga dianggarkan sebanyak 10.77 juta orang.

Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM11.5 bilion pada akhir Jun, katanya.

√ Semakan status penerimaan bantuan Prihatin Nasional (BPN ...

Tengku Zafrul berkata, ini juga merupakan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 bilion.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Ketujuh Pencapaian Prihatin-Laksana hari ini.


Menurut beliau, sehingga 31 Mei, status pencapaian bagi Fasa Pertama dan Kedua dalam kumpulan pertama penerima BPN adalah sebanyak 96.5 peratus.

“Dan dalam Fasa Pertama, seramai 7.93 juta penerima telah menerima bayaran berjumlah RM5.56 bilion.

“Bagi Fasa Kedua pula, seramai 7.90 juta penerima telah menerima bayaran berjumlah RM3.55 bilion,” jelasnya.

Bagi kumpulan kedua penerima BPN yang diumumkan pada 9 Mei lalu, Tengku Zafrul berkata, jumlahnya sebanyak 2.3 juta penerima.

“Daripada jumlah ini, sehingga 31 Mei, seramai 2.08 juta penerima telah menerima bantuan BPN yang dibuat secara sekali gus berjumlah RM1.57 bilion,” katanya lagi.

Bagi kumpulan ketiga iaitu mereka yang membuat rayuan antara 11 dan 31 Mei lalu, beliau berkata, sebanyak 170,000 rayuan telah diterima dan akan disemak secara manual.

“Keputusan akan diumumkan pada pertengahan Jun dan bayaran sekali gus bermula pada akhir Jun,” tegasnya.

Mengenai program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, setakat 31 Mei lalu, sebanyak empat juta permohonan telah diluluskan, meningkat daripada 3.9 juta sebelum ini.

“Jumlah pembayaran ini melibatkan RM1.9 bilion sebulan,” katanya.

Bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja kepada tujuh peratus daripada 11 peratus, Tengku Zafrul berkata, jumlah pengurangan caruman yang dianggarkan akan diterima oleh ahli KWSP untuk bulan Mei adalah RM895 juta.

“Sehingga 31 Mei, kerajaan mendapati semakin ramai pekerja membuat pilihan sendiri untuk mengekalkan caruman mereka pada kadar 11 peratus iaitu seramai 1.7 juta atau kira-kira 23 peratus daripada pencarum KWSP berbanding 1.5 juta sebelum ini,” katanya.

Bagi bayaran khas RM600 secara ‘one-off’ yang akan diberikan kepada pemandu pelancong, Tengku Zafrul memaklumkan, sehingga 31 Mei, seramai 6,470 pemandu pelancong telah menerima bayaran tersebut berjumlah RM3.9 juta.

Bagi pemandu e-hailing, katanya, setakat 31 Mei, kerajaan telah menyalurkan bayaran bantuan khas sebanyak RM34 juta melalui e-dompet kepada 68,336 penerima.

Beliau menambah, pembayaran untuk 8,300 pemandu e-hailing tambahan sedang diproses.

Mengenai 30,000 pemandu teksi yang mengadu tidak menerima bantuan khas kerana kad pemandu teksi mereka telah tamat tempoh sah laku, Tengku Zafrul berkata, pada 23 Mei lalu, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan bahawa bayaran khas ini akan dipanjangkan kepada mereka dengan syarat kad pemandu diperbaharui dan mereka diberi tempoh sehingga 1 Julai. – BERNAMA

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button