Zahid jadi sasaran lagi
TIBA-TIBA kisah kapal tempur yang gagal disiapkan menjadi tajuk utama akhbar tempatan dan Berita Harian meletakkannya di muka hadapan.
Sejauh mana berita muka hadapan melariskan jualan tidak dapat dipastikan atau mungkin mempunyai niat lain iaitu untuk memburukkan nama pemimpin berkenaan.
Jika dilihat rating berita berkenaan semasa mula disiarkan di portal-portal berita semalam, ia tidak mendapat hit yang tinggi dari segi jumlah pembaca.
Bagaimanapun di media sosial banyak posting yang berbentuk menyindir dan memburukkan imej Zahid.
Biasanya berita yang popular sahaja menjadi viral, tetapi jika berita tidak popular dipaksa menjadi tular, pasti ada tangan ghaib di belakangnya.
Apakah kerana Zahid terlalu lantang dan tegas berhubung isu Belanjawan 2021 yang mahukan moratorium automatik dan pengeluaran akaun 1 KWSP dibenarkan kepada semua pencarum?
Atau kerana tindakan Zahid menyebabkan menyebabkan menteri besar Perak beralih tangan dari Bersatu kepada UMNO?
Atau orang UMNO sendiri yang mahu menekan Zahid supaya melepaskan jawatan presiden? Atau gabungan kepada semua itu.
Pemimpin UMNO sebelum ini memang ghairah menyerang Zahid dan melabelkan beliau sebagai presiden yang lemah serta gagal.
Bagaimanapun akhirnya mereka mula sedar pena berada di tangan Zahid yang akan menentukan siapa bakal menjadi calon pada pilihan raya kelak.
Ada yang sudah merasakan sudah terlambat untuk meminta maaf kepada presiden kerana pilihan raya sangat dekat dan kaedah yang digunakan ialah dengan menekan supaya Zahid meletakkan jawatan.
Dengan kes mahkamah yang tertangguh kini dan ditambah dengan cerita dipanggil menjadi saksi oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, ia menjadi senjata baharu untuk menyerang Zahid.
Sedangkan isu itu sebenarnya dibawa oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada Ogos yang lalu, tetapi dibangkitkan semalam.
Zahid telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau bersedia bekerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa berkenaan.
Sebelum ini laporan perbicaraan kes membabitkan Zahid juga menjadi bahan diputar belit oleh beberapa portal berita yang menyokong pembangkang.
Hubungan tegang Zahid dengan pemimpin di dalam Perikatan Nasional (PN) khususnya dari parti serpihan UMNO iaitu Bersatu sedikit sejuk apabila beliau bersama-sama pemimpin lain bersetuju membentuk Majlis Presiden.
Tujuan utama penubuhannya sudah pastilah untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dengan lebih cepat dan berkesan.
Paling mudah adalah menuduh pembangkang menjadi dalang kepada serangan terbaharu kepada Presiden UMNO itu, kerana kerja pembangkang memang mencari kelemahan kerajaan dan menjatuhkan reputasi para pemimpin kerajaan.
Seperti yang diketahui umum, Zahid memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan mulai April 2009 sehingga Mei 2013. Kegagalan pembekalan oleh Boustead ini timbul hanya pada tahun 2019 di mana pada ketika itu beliau tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan.
Kapal tempur itu juga dibina oleh syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad di mana pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) milik Kerajaan, manakala pemegang saham kedua terbesarnya adalah KWAP yang juga milik Kerajaan.
Saya rasa serangan ini tidak akan berakhir setakat ini. Kita lihat episod seterusnya. Saya pun tidak sabar untuk mendengar kisah sebenar di sebalik kegagalan projek kapal tempur itu. –