
Gunung Medan Glamping and Cafe menawarkan keunikan panorama
KANGAR – ‘Gunung Medan Glamping And Cafe’ merupakan sebuah destinasi unik yang menawarkan pengalaman penginapan dan makanan dengan panorama memukau dari puncak Gunung Medan. Lokasi ini menjadi pilihan ideal bagi mereka yang ingin bersantai dan menikmati keindahan alam semula jadi, terutama buat keluarga yang mencari ketenangan jauh dari kesibukan kota yang terletak di Utan Aji dekat Kangar.
Majlis perasmian Gunung Medan Glamping dan Cafe telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat sama ialah anakanda kedua Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan disambut oleh pengusahanya, Ahmad Naim Abdul Latif.
Majlis ini disekalikan dengan Sesi Riadah Petang bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Ketua Jabatan Negeri Perlis dengan mendaki sehingga ke puncak Gunung Medan View Point.
Selain penyerahan kerusi batu daripada pihak TNB, turut diadakan ialah penyampaian sumbangan MAIPs Peduli kepada tiga orang asnaf terpilih yang menetap di Kampung Binjai, termasuk Chantek Mahat, 78 tahun, Mahasa Abdul 85 tahun, dan Rohaya Omar@Dan 55 tahun. Setiap daripada mereka menerima wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah.
Baginda menegaskan bahawa zakat yang diurus dengan baik mampu meningkatkan potensi golongan yang memerlukan serta menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan usaha ini berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Gunung Medan Glamping dan Cafe menawarkan pelbagai pilihan penginapan untuk keluarga dan kumpulan kecil, lengkap dengan kemudahan asas, penghawa dingin, serta akses WiFi percuma di seluruh kawasan.
Bagi penggemar makanan, Kafe Gunung Medan menyajikan hidangan tempatan dan Barat yang enak, beroperasi setiap hari dari jam 5 petang hingga 11 malam.
Pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung, termasuk mendaki dan meneroka alam semula jadi, menjadikannya destinasi ideal bagi pencinta aktiviti lasak dan pengembaraan. Selain itu, kemudahan sewa basikal turut disediakan bagi mereka yang ingin menikmati keindahan flora dan fauna dengan lebih santai.
Dengan suasana yang nyaman, pemandangan yang mengagumkan, serta pelbagai aktiviti menarik, Gunung Medan Glamping And Cafe menjanjikan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh setiap pengunjung.
FOTO