NasionalUncategorized

Zahid Hamidi tunggu keputusan kedua ujian kesihatan Covid-19

Kes perbicaraan Ahmad Zahid ditunda Isnin depan

PAGI ini sepatutnya prosiding sambung bicara kes membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, prosiding itu tidak dapat dijalankan hari ini kerana semalam, selepas prosiding pagi berlangsung, Ahmad Zahid telah bergegas ke Pusat Perubatan (KPJ) untuk menjalani ujian kesihatan.

Ini kerana Ahmad Zahid telah pergi ke Sabah untuk hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) itu untuk kali ke-16, minggu lepas.

Justeru Ahmad Zahid mengambil langkah kesihatan dengan melakukan ujian semalam selepas mahkamah berehat untuk makan tengah hari.

Pada sebelah pagi, prosiding sambung bicara Ahmad Zahid yang berhadapan dengan 47 pertuduhan termasuk pecah amanah , rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan Yayasan Akal Budi, menampilkan saksi ke-90 iaitu bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN).

Saksi berkenaan, Mejar Mazlina Mazlan sebelum ini telah memberi keterangan bersumpahnya yang ‘dilihat’ sebagai saksi ‘penting’ barisan pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pemeriksaan balas dilakukan oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada 28 Ogos lalu iaitu kira-kira dua minggu lepas.

Semalam, pemeriksaan balas ke atas Mazlina bersambung dan berhenti pada waktu rehat tengah hari.

Prosiding sambung bicara dijalankan seperti biasa di hadapan hakim bersidang, Collin Lawrence Sequerah dengan barisan pembelaan diketuai oleh Hisyam Teh Toh Teik.

Menurut salah seorang peguam Ahmad Zahid, ujian kesihatan Covid-19 yang dilakukan oleh Presiden UMNO itu pada tengah hari semalam adalah negatif.

“Akan tetapi Datuk Seri Zahid perlu membuat ujian kali kedua dan keputusannya akan diketahui dalam tempoh 24 jam atau secepat mungkin.

“Hari ini, kita masih lagi menunggu keputusan ujian kesihatan Covid-19 Datuk Seri Zahid,” kata Hamidi Mohd. Noh melalui mesej WhatsApp kepada SUARA MERDEKA sebentar tadi.

Memandangkan kes perbicaraan Ahmad Zahid tidak dapat bersambung hari ini, Mahkamah memutuskan prosiding bicara bersambung pada Isnin depan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button