Zahid Hamidi cabar Isham Jalil hadir MKT UMNO malam ini
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar Ahli Majlis Tertinggi, Isham Jalil menyuarakan bantahannya terhadap kerjasama dengan DAP pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini.
“Isham perlu beranikan diri datang mesyuarat malam ini,” kata Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penyampaian sumbangan tabung kemanusiaan bagi rakyat Palestin oleh 99 Speedmart Sdn Bhd dan Wanita UMNO di Bangunan Perdana Putra.
Zahid berkata, Isham perlu menyuarakan rasa tidak puas hatinya termasuk kononnya ada segelintir pemimpin UMNO menjadi barua DAP yang menjadi punca parti itu ditolak oleh orang Melayu susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu.
“Saya harap malam ini Isham datang mesyuarat MKT. Kalau ada pendapat lain, beliau boleh suarakan.
“Setakat ini beliau tak datang mesyuarat tiga kali. Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini.
“Suarakan pendapat yang beliau sanggah (tolak kerjasama DAP) apabila kita jalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bentuk Kerajaan Perpaduan,” kata Zahid.
Mesyuarat MKT UMNO dijadual diadakan jam 8.30 malam ini di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Isham sebelum ini lantang mengkritik kerjasama UMNO-PH khususnya DAP dengan yang terbaharu, pada 5 Disember lalu apabila menyatakan parti itu terus menerima penolakan orang Melayu kerana ia seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi barua DAP.
Isham mendakwa, ada segelintir pemimpin UMNO bertindak “lebih DAP daripada DAP”, dengan mempromosikan parti cauvinis itu secara berlebihan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan akar umbi.
“Sebab kekalahan kita (di PRK Kemaman), ada beberapa orang yang mempromosikan DAP dalam UMNO…cukup-cukuplah jadi ‘penjilat’ DAP. Janganlah bila kepentingan DAP tergugat, kamu yang terkoyak lebih,” kata Isham.
PRK Kemaman Sabtu lalu menyaksikan PAS menerusi calonnya, Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Raja Affandi mendapat 27,778 undi, merosot berbanding 38,535 undi diterima bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. – SM
BACA “Saya bukanlah sebodoh yang dia sangka, berdebat di gelanggang berat sebelah”-Isham Jalil