Politik

Zahid faham keresahan terhadap hala tuju UMNO

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memahami keresahan akar umbi berkaitan hala tuju parti tersebut selepas beberapa pihak mempersoalkan beliau seolah-olah tidak menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden UMNO.

Ahmad Zahid yang menang jawatan Presiden UMNO pada Jun 2018 memberi jaminan bahawa UMNO mempunyai hala tuju yang jelas.

“Ada yang resah dan bertanya UMNO seolah-olah tiada hala tuju. Apa yang Presiden UMNO lakukan? Ke mana UMNO mahu dikemudi?

“Saya faham keresahan ini. Justeru hari ini saya beri jaminan bahawa UMNO ada hala tuju yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu melahirkan rasa pelik berikutan terdapat beberapa pihak yang menghalakan kemarahan terhadapnya dan menuduh kononnya parti yang dipimpinnya itu tidak mempunyai matlamat.

Beliau mempersoalkan motif pihak terbabit yang membangkitkan isu hala tuju UMNO hampir setiap hari di media sosial.

“Tetapi agak menghairankan apabila anti-UMNO yang seolah-olah paling kecewa dan hari-hari marah kerana UMNO kononnya tiada hala tuju.

“Hari-hari membangkitkan perkara itu di media sosial. Apakah muslihatnya saya fikir saudara saudari ada jawapannya,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, hala tuju paling utama UMNO ketika ini adalah memperkasakan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Hala tuju kedua, yang tidak kurang penting adalah memperkukuhkan kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk bekerjasama dengan BN.

“Saya juga faham hala tuju sering dikaitkan dengan strategi. Sekali lagi saya beri jaminan UMNO ada strategi.

“Cumanya ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang UMNO sedang dan akan lakukan.

“Strategi UMNO tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang. Strategi politik tidak boleh skema. Perlu bijaksana,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan barisan pimpinan UMNO mempunyai strategi yang terbaik untuk parti, ahli akar umbi dan rakyat.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button