Persatuan Semboyan Malaysia membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa untuk menutup kelab CrackHouse yang didakwa menjadi tempat persembahkan lawak menyentuh sensitif kaum dan agama dijalankan.
Pengerusi Persatuan Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi yang terkenal dengan sikap tegas dan membela nasib orang ramai berkata, insiden yang berlaku harus dijadikan iktibar agar semua orang lebih sensitif.
Dalam masa sama, pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof turut hadir memberikan sokongan dan menegaskan kehadirannya bukan kerana kepentingan tertentu.
“Saya hadir di sini bukan atas kepentingan tertentu tetapi dasar sebagai seorang Islam, saya sangat setuju mengenai perkara yang dikatakan oleh Yusuf Azmi,” ujarnya.
Terdahulu, Siti Amira Natasha Abdullah menyebarkan videonya memakai baju kurung dan memaklumkan dirinya seorang Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.
Susulan pengumuman itu, dia menanggalkan baju kurung dan tampil dengan pakaian seksi sekali gus dianggap sengaja mencemarkan keharmonian agama dan bangsa dalam berjenaka.
Bagi Yusuf Azmi dan Syamsul Yusof, perkara tersebut terlalu serius dan memandangkan Islam ialah agama bagi Persekutuan menurut Perkara 3 (1), jelas Islam tidak boleh diperkotak-katik.
Menurut sumber, kelab Crackhouse yang tular itu hanyalah berdaftar untuk menjalan operasi dengan lesen perniagaan kedai makan sahaja dan tidak mempunyai lesen hiburan.
“Crackhouse telah lama beroperasi dan ramai pelawak berkumpul untuk mempersembahkan lawak ‘stand-up comedy’ mereka di situ sebelum persembahkan ke pentas yang lebih besar.
“Yang lebih mengejutkan, Crackhouse bukan sahaja dimiliki oleh Rizal Van Geyzel yang merupakan seorang Islam malah terdapat video-video yang memaparkan Rizal turut melakukan perkara serupa,” kata sumber.
Selain Yusof Azmin dan Syamsul Yusof, pelawak Shahrol Azizie Azmi dan Sharol Shiro bersama penyokong serta ahli Persatuan Semboyan Malaysia turut berkumpul di Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields bagi membuat laporan.
Tegas Yusuf Azmi, jika premis berkenaan masih beroperasi, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengadakan mogok di hadapan kelab tersebut sehingga ia benar-benar ditutup.