fbpx
Rencah Hidup

YUN dan Restoran Berputar Atmosphere 360 sumbang makanan kepada anggota PDRM

SUDAH menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia khususnya badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif terdahulu bagi menunjukkan keprihatinan dan membantu meringankan beban pasukan keselamatan negara ketika berdepan dengan suasana getir krisis Covid-19.

Sehubungan itu, Yayasan Usahawan Negara (YUN) telah bekerjasama dengan  Restoran Berputar Atmosphere 360 Menara Kuala Lumpur membuat sumbangan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Usaha sama ini akan memberi manfaat kepada semua anggota PDRM dengan membekalkan makanan tengahari kepada wira dan wirawati negara bermula hari ini (24 Mac 2020) hingga 31 Mac ini.

Sumbangan bantuan makanan tengahari itu bertujuan menyuntik semangat anggota dan pegawai PDRM terus memberi perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.


Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YUN, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak 500 pek makanan setiap hari hingga 31 Mac ini untuk diserahkan kepada anggota yang  bertugas di semua 61 lokasi sekatan jalan raya di sekitar Lembah Klang.

“Alhamdulillah hari ini, YUN dengan kerjasama Restoran Berputar Atmospehere 360 akan memulakan misi mengagihkan makanan tengahari kepada semua anggota PDRM yang bertugas.

“Penyerahan ini akan dibuat melalui enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur.

“Jumlah pek makanan itu juga akan ditambah sekiranya terdapat permintaan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sumbangan makanan  di IPD Dang Wang, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Megat yang juga Pengarah Urusan Atmosphere 360 turut berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengalu-alukan bantuan daripada NGO dan syarikat swasta.

“Saya mahu berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri kerana memberi kebenaran bagi NGO seperti kami untuk membantu. Beliau amat prihatin kepada semua anggota PDRM yang bertugas di seluruh negara.

“Selain itu, saya ingin berterima kasih kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan misi ini dan diharap kami dapat meneruskan program sebegini dengan lebih efektif selepas ini.

“Kami juga mengalu-alukan kerjasama daripada pihak korporat lain untuk memberi sumbangan dan YUN sedia menjadi NGO pemudahcara untuk syarikat-syarikat di luar sana untuk memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan negara,” katanya. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button