Berita

Yakinlah kerajaan mampu tangani koronavirus

Oleh Noor Shamsiah Mohamed dan Syamsiah Sahat

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Kedudukan Malaysia di tangga ke-18 Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) 2019 daripada 195 negara menunjukkan Malaysia mempunyai kemampuan yang baik dalam mencegah, mengesan dan bertindak terhadap penularan penyakit berjangkit.

Indeks GHS ini merupakan satu pengiktirafan antarabangsa akan keupayaan negara dalam menangani sebarang penularan penyakit, termasuk kluster 2019 novel koronavirus.

Sehubungan itu, masyarakat perlu meletakkan keyakinan terhadap keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya dan kerajaan amnya yang sedang bertungkus-lumus memberi perlindungan terbaik kepada rakyat daripada ancaman koronavirus.

Sebenarnya, penularan kluster penyakit berbahaya di Malaysia bukan sesuatu yang baharu. Negara pernah mengharungi ancaman seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003, virus Nipah (1998-1999) dan Infuenza A (2009 dan baru-baru ini) yang membolehkan KKM menimba pengalaman luas dan meningkatkan kepakarannya dalam menangani penularan penyakit berkenaan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar memberitahu Bernama berdasarkan pengalamannya di bahagian kawalan penyakit, jelas langkah-langkah yang diambil KKM ketika ini untuk menangani penularan koronavirus mencerminkan kematangan kerajaan dalam menangani isu itu.

“Ini kerana kita bukan kali pertama berhadapan dengan isu seperti ini, sebab itu kita sudah ada sistem dan prosedur saringan, pengesanan kontak, kuarantin, pengawasan dan apabila ada pesakit dalam siasatan (PUI) kita akan hantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Untuk rekod, katanya, Hospital Sungai Buloh merupakan pusat rujukan dan rawatan penyakit berjangkit terbaik di Malaysia dan antara yang terbaik di Asia dengan mempunyai kelengkapan mencukupi dan kepakaran diiktiraf.

Berikutan itu, Dr Zainal Ariffin berkata rakyat tidak seharusnya meragui kebolehan yang ada pada kakitangan perubatan KKM kerana mereka sentiasa menjalani simulasi dan cukup terlatih untuk berhadapan dengan isu seperti jangkitan koronavirus itu.

“Rakyat juga tidak seharusnya meragui langkah yang diambil oleh kerajaan kerana setiap keputusan yang dilakukan adalah berdasarkan nasihat daripada panel penilaian profesional dalam bidang perubatan.

“Apa yang berlaku kini, terlalu ramai yang menjadi ‘pakar’ tanpa ilmu yang sebenar dan media sosial seperti Facebook dijadikan sebagai teater politik untuk menangguk di air keruh menyebabkan timbul situasi panik dalam kalangan rakyat.

“Nasihat saya ikuti berita yang sahih dikeluarkan oleh KKM, semak jurnal perubatan untuk mendapatkan fakta, jangan dengar khabar angin kerana ia menyebabkan kegelisahan,” katanya.

Sementara itu, menurut indeks GHS yang dikeluarkan pada Oktober lepas, Malaysia dilihat lebih bersedia berbanding negara jiran Singapura dan Indonesia yang masing-masing berada pada kedudukan ke-24 dan ke-30 daripada kesemua 195 negara yang dinilai.

Negara-negara berkenaan disenarai dalam tiga kategori – paling bersedia, lebih bersedia dan kurang bersedia dan Malaysia ditempatkan dalam kategori kedua.

Negara yang berada di kedudukan teratas ialah Amerika Syarikat, dengan skor 83.5, diikuti oleh Britain (77.9) dan Belanda (75.6) dengan negara jiran di utara, Thailand menduduki tangga ke-6 (73.2) dan Korea Selatan di tangga ke-9 (70.2) .

GHS menilai persediaan dalam menghadapi risiko yang memberi kesan besar dan bencana biologi global.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button