Wujud momentum sokongan kepada BN di Kedah
BARISAN NASIONAL (BN) kini kian mendapat momentum sokongan di Kedah dengan beberapa kawasan yang sebelum ini ‘hitam’ dan sukar dimasuki, berjaya ditembusi di seluruh negeri ini.
Menurut Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ‘aura’ keinginan rakyat negeri ini kembali kepada BN dapat dirasakan walaupun pihak lawan sering bercakap mengenai gelombang yang menyebelahi Perikatan Nasional (PN).
“Di lima belas kerusi BN bertanding, momentum sokongan itu nampak meningkat, seolah-olah terdapat aura untuk orang datang balik kepada BN.
“Kita tahu mereka mengharapkan gelombang seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu tetapi di sebalik semua itu, kita nampak ada momentum pula kepada sebelah sini (BN).
“Semua ini mungkin kerana kita kuat bekerja mendekati rakyat di bawah. Di Kedah kami menganggap diri sendiri sebagai ‘underdog’ kerana menentang pihak yang sebelum ini menjadi kerajaan negeri.”
Beliau berkata demikian kepada media ketika berkempen di Pedu dekat sini, hari ini.
Mahdzir yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan rakyat Kedah untuk memilih calon yang boleh bekerja berbanding golongan yang hanya bersifat populis.
“Rekod perkhidmatan sudah tentu diambil kira dan kalau undi itu dibuat atas dasar populis, belum tentu kita boleh capai perkara yang rakyat mahukan,” katanya.
Sementara itu Mahdzir mengingatkan jentera dan penyokong BN tidak perlu terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh pihak lawan yang menggunakan kata-kata kasar dalam ceramah dan kempen mereka.
“Tak payah gunakan bahasa kasar atau nak lawan semula kata-kata mereka. Sebagai contoh Muhammad Sanusi ketika berucap sebelum ini menggunakan perkataan ‘aku sepak satgi’ yang ditujukan kepada saya.
“Itu terpulanglah kepadanya tetapi budaya kita bukan macam itu. Tak payahlah nak jawab balik sebaliknya kita fokus kepada pengundi dan kita yakin rakyat Kedah bijak membuat pilihan,” katanya. – SM
Artikel berkaitan > Masyarakat Siam sokongan BN-PH