Warisan, Amanah, PKR Labuan bantu warnai hari penamaan calon PRK Kimanis
BARISAN kepimpinan tertinggi tiga parti politik di Labuan – Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut membantu mewarnai kemeriahan hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, hari ini.
Warisan, yang diketuai oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Amanah oleh anggota jawatankuasa bahagian Labuan, Chemat Mustapha dan PKR oleh anggota jawatankuasa bahagian Labuan, Simsudin Sidek, memakai baju seragam berwarna-warni putih berjalur biru, merah dan oren, warna perjuangan parti masing-masing.
“Kami telah berada di Kimanis sejak dua hari lepas masa pelancaran jentera PRK Kimanis dan berlarutan sehingga hari ini. Beberapa tempat telah sempat kami kunjungi bersama menteri kabinet kerajaan negeri Sabah untuk bertemu rakyat termasuk menghadiri program pertanian setempat,” kata Rozman ketika dihubungi Bernama hari ini.
Rozman, yang juga ketua jentera PRK Kimanis bahagian Labuan, berkata adalah wajar untuk semua pemimpin bahagian Warisan untuk membantu memberikan sokongan kepada calon Warisan PRK Kimanis.
“Kami hadir atas semangat setia parti dan setia kawan demi memastikan kesinambungan kepimpinan Warisan di Sabah dan Labuan,” tambahnya.
Chemat pula berkata, kehadiran barisan kepimpinan Amanah di Kimanis atas semangat barisan komponen Pakatan Harapan.
“Presiden Amanah telah menegaskan bahawa kami akan datang beramai-ramai sebagai sokongan kepada calon Warisan dan mahu memastikan kemenangan berpihak kepadanya,” katanya.
Simsudin berkata PKR adalah antara parti PH yang memberikan sokongan Warisan bertanding di Kimanis.
“Oleh yang demikian, saya dan rakan lain termasuk Timbalan Perdana Menteri dan ketua PKR Sabah berada di Kimanis sejak dua hari lepas, tanda sokongan kami kepada Warisan,” katanya.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan dengan hari pengundian awal pada 14 Jan. – BERNAMA