Warga Shanghai Harapkan Bantuan Makanan Namun Pemerintah China Larang Menyanyi!
Pemerintah China dan pihak berkuasa kesihatannya melarang penduduk di bandar Jiuting, Shanghai untuk menyanyi pada malam hari sepanjang tempoh sekatan pergerakan (lockdown).
Media tempatan melaporkan, langkah itu susulan penularan Covid-19 dan kes tinggi di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.
Hebahan mengenai peringatan itu disampaikan menerusi dron yang diterbangkan oleh pemerintah ke kawasanitu.
“Semua penduduk diharap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan tahan perasaan untuk keluar dengan bebas seperti biasa.
“Jangan buka tingkap atau menyanyi,” kata peringatan itu.
Dalam pengumuman sama turut menyebutkan aktiviti menyanyi dapat meningkatkan risiko penyebaran virus.
Keputusan itu mengundang kemarahan dalam kalangan penduduk yang meluahkannya menerusi platform Weibo.
Ia kerana mereka mengharapkan bantuan makanan, namun larangan menyanyi yang diumumkan oleh pihak berkuasa.
Segelintir yang lain turut mengeluh dengan sekatan pergerakan sebelah malam yang ketat, menghalang bekalan makanan dihantar ke daerah berkenaan.
Biarpun penduduk sudah mengadukan masalah itu pihak berkuasa tempatan setiap hari, namun belum ada tindakan diambil.