Nasional

Warga asing masih tidak dibenarkan masuk ke Malaysia

Laporan AirAsia Indonesia rancang mula penerbangan ke KL, palsu

KERAJAAN Malaysia masih mengekalkan polisi untuk tidak membenarkan warga asing memasuki negara pada masa ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, buat masa ini kebenaran untuk memasuki pintu masuk negara hanya dibuka kepada rakyat Malaysia sahaja.

“Yang boleh dibawa masuk adalah warganegara Malaysia dan mereka ini pun akan dikuarantin 14 hari dahulu,” katanya pada sidang akhbar harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai AirAsia Indonesia yang merancang untuk memulakan semula penerbangan dari Surabaya ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 18 Mei ini.

Menurut Ismail Sabri lagi, beliau juga telah menghubungi pihak AirAsia dan dimaklumkan bahawa perkara itu adalah tidak benar.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerja-kerja pengubahsuaian dan pertukangan rumah yang melibatkan keperluan pengguna adalah dibenarkan.

“Sedikit kekeliruan pada prosedur operasi standard yang menyatakan hanya penyewa dibenarkan untuk melakukan pengubahsuaian, tetapi sebenarnya pemilik rumah juga dibenarkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata sebarang kerja-kerja pembaikan dan pemasangan yang melibatkan keperluan utiliti pengguna termasuk air, elektrik, paip dan saliran, serta internet adalah dibenarkan.

Ditanya mengenai langkah kerajaan bagi mengawal pertambahan bilangan Zon Merah, beliau berkata pihak berkuasa telah melakukan pemantuan bagi kes COVID-19 berdasarkan lokaliti dan kluster.

Ismail Sabri berkata sebelum sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kerajaan akan melaksana PKP secara pentadbiran dengan memantau perkembangan kes di kawasan terbabit.

“Seperti di Chow Kit contohnya, kita memantau dan sekiranya kes meningkat lagi kita akan melaksana PKPD di kawasan itu. Misalnya juga yang kita baru kenal pasti adalah kluster pekerja asing, jadi kita fokuskan kepada pekerja yang terkena jangkitan dan kontak mereka,” katanya.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button