Warga APM terharu iring kayuhan RMPs
Warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melahirkan rasa terharu apabila diperkenankan untuk mengiringi keberangkatan Raja Muda Perlis (RMPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menjejaki dan menyantuni golongan asnaf terpilih melalui program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli’ kali ke-43 untuk tahun 2020 pada petang semalam.
Program bersiri anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tersebut bermula dan berakhir di Denai Larian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Pengkalan Asam, Kangar.
Program kali ini disekalikan dengan kehadiran wakil APM Ibupejabat serta lapan buah Institusi Pengajian Tinggi dari beberapa buah negeri ke Perlis bagi menghadiri Majlis Pentauliahan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-11 Tahun 2020 yang akan diadakan di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada pagi ini.
Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra yang dijadualkan akan menyempurnakan pengurniaan watikah pentauliahan pada majlis hari ini disambut oleh Ketua Pesuruhjaya APM, KPj. (PA) Datuk Roslan Wahab dan Pengarah APM Negeri Perlis, Lt. Kol (PA) Ishak Mohd Radzi.
Kayuhan berkenaan turut disertai barisan kepimpinan utama APM antaranya Timbalan Ketua Pesuruhjayanya, TPj. (PA) Norhafifi Ismail dan Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan, PPj. (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin.
Kayuhan sejauh 15 km tersebut dimulakan dengan persembahan simulasi teknik penyelamatan kecemasan di air selain singgah di Perkampungan PPRT Tok Kuning bagi pelaksanaan penyerahan sisa pepejal gotong-royong komuniti setempat kepada Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis.
Ketua Pesuruhjaya APM, KPj. (PA) Datuk Roslan Wahab berkata, warga APM amat bertuah kerana diberikan peluang melihat dengan lebih dekat aktiviti mendekati rakyat yang dilaksanakan dengan cara yang sungguh unik diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis.
“Melalui program seumpama ini, warga APM dapat meluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi ke arah menyebar luaskan perkhidmatan kepada golongan sasar,” tambah beliau lagi.
Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan meluangkan masa singgah di beberapa buah rumah asnaf terpilih di sekitar Kg Bintong dan Kangar bagi menyampaikan bantuan agihan zakat MAIPs serta sumbangan ikhlas dari warga kerja APM selain berkenan menyempurnakan Program Khidmat Masyarakat APM dengan mengecat dan memperindah kediaman seorang asnaf yang disinggahi. Baginda turut berkenan meninjau tapak ‘Pasar Terapung JPS Kangar’, yang akan beroperasi dan mula dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula sabtu dan ahad 19 dan 20 September 2020.
Tx.