Wanita warga emas maut dicakar kucing peliharaannya
Awas bahaya jangkitan bakteria pada luka yang terbuka akibat dijilat haiwan
SEORANG wanita warga emas di Melbourne, Australia, meninggal dunia dipercayai akibat dicakar kucing peliharaannya sendiri.
Menurut laporan Herald Sun, warga Australia berusia 80 tahun itu dicakar kucingnya, “Minty” sebelum haiwan tersebut bertindak menjilat luka pada wanita itu.
Keluarga wanita berkenaan menemui warga emas terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital di Melbourne.
Wanita itu bagaimanapun meninggal dunia seminggu kemudian akibat jangkitan.
Menurut Pengarah Penyakit Berjangkit di Pusat Kesihatan Austin, Melbourne , Lindsay Grayson, ini adalah masalah besar dan kini semakin kerap berlaku.
“Jangkitan yang tidak diketahui pada bahagian injap jantung mangsa membawa maut jika mangsa tidak dirawat,” katanya.PILIHAN
Grayson memberi amaran mengenai bahaya jangkitan bakteria pada luka yang terbuka akibat dijilat oleh haiwan peliharaan.
Katanya lagi, pemilik kucing perlu segera mendapatkan rawatan jika dicakar atau digigit oleh haiwan peliharaan mereka.
“Sekurang-kurangnya satu kes jangkitan seperti yang berlaku ke atas wanita ini dilaporkan di hospital dalam tempoh seminggu,” katanya. – SM