Wanita pertama sembuh daripada HIV
SEORANG pesakit virus kurang imun (HIV) di Bandaraya New York menjadi wanita pertama di dunia yang sembuh daripada HIV selepas menerima rawatan sel stem.
Pesakit tersebut yang dirawat di Pusat Perubatan Presbyterian Weill Cornell itu berjaya melawan virus maut itu dan menjadi individu keempat yang sembuh daripada HIV.
Sebelum ini, tiga pesakit yang berjaya sembuh daripada HIV adalah pesakit lelaki.
Menurut laporan, wanita tersebut juga merupakan seorang pesakit kanser dan menerima rawatan untuk melawan kedua-dua penyakit itu dalam masa sama.
Proses pertama untuk menjalankan rawatan itu, doktor perlu mencari penderma yang mempunyai mutasi luar biasa yang menjadikan mereka kebal daripada virus tersebut.
Setelah mendapatkan penderma, doktor akan melakukan pemindahan tali pusat iaitu haploidentical di mana ia merupakan satu proses yang menggunakan darah tali pusat serta sumsum tulang daripada penderma.
“Peranan sel-sel penderma dewasa adalah untuk mempercepatkan proses pengukuhan awal dan menjadikan pemindahan lebih selamat serta mudah,” kata Dr Koen van Besien.
Rawatan sel stem tersebut berfokus kepada individu yang berada di peringkat akhir diagnosis kanser dengan ramalan jangka hayat tidak panjang.
Hal ini kerana rawatan tersebut merupakan rawatan yang berisiko tinggi menyebabkan kematian pesakit maka pakar tidak akan melakukan rawatan tersebut kepada pesakit yang boleh mengurus HIV melalui kaedah biasa.
Pesakit wanita tersebut dipilih kerana disahkan menghidap HIV pada 2013 dan leukemia pada 2017.
Ini menjadikannya sebagai calon yang berpotensi untuk menjalani rawatan berisiko tinggi tersebut.
Empat tahun lalu, wanita tersebut telah mula menerima rawatan itu dan kanser yang dihidapinya telah hilang.
Setelah itu, rawatan HIV tersebut dihentikan pada musim sejuk tahun lalu.
Imbasan berulang ke atas badan wanita tersebut menunjukkan tiada sel-sel HIV yang berpotensi untuk muncul semula. -SM