Wanita Perlis hebat memancing puyu
HEBAT sungguh golongan wanita di Perlis kerana mereka ini bukan sahaja mempunyai minat yang mendalam terhadap aktiviti memancing tetapi kalau sebab bab memancing ikan puyu, merekalah juara.
Berbanding dengan kaum lelaki yang kurang gemar memancing puyu, tumpuan memancing golongan Adam di negeri paling utara ini ialah ikan haruan.
Pada pengamatan penulis, mengapa kaum lelaki kurang gemar memancing puyu ialah saiz ikannya kecil berbanding haruan.
Tetapi golongan wanita pula tidak memilih untuk memancing ikan haruan kerana tempoh untuk memancing haruan lebih lama atau panjang berbanding dengan memancing puyu.
Kalau memancing ikan puyu, dua jam sahaja. Selebihnya masa boleh digunakan untuk siang ikan dan masak, tak gitu?
Sebenarnya, bagi mereka yang gemar memancing, ia adalah aktiviti yang ralit dan memancing puyu, bagi orang perempuan di Perlis di sepanjang parit jalan besar atau jalan kampung yang berhampiran sawah amat menyeronokkan.
Memancing dalam kalangan wanita di Perlis juga merupakan budaya yang bukan baharu dipupuk sebaliknya sejak kecil lagi, anak-anak perempuan didedahkan dengan pengalaman memancing ikan terutamanya ikan puyu.
Cuma kaum wanita di sini keluar memancing secara bermusim iaitu selepas kerja-kerja menuai padi selesai kerana pada masa inilah ikan-ikan air tawar akan muncul dengan banyak terutamanya ikan puyu.
Itulah daya tarikan luar biasa puyu – ikan kecil bersirip tajam yang membuatkan kaum wanita rasa tidak senang duduk di rumah kalau tidak memegang joran memancing puyu.
Biasanya aktiviti memancing ini dilakukan selepas solat Asar di mana masing-masing bersiap sedia keluar bersama joran, umpan cengkerik dan tong untuk dipenuhi dengan tangkapan sambil berjalan menuju ke tempat tumpuan ikan air tawar.
Kalangan pemancing wanita ini sudah faham dan tahu dimanakah lubuk ikan puyu yang biasanya berdekatan dengan rumah supaya boleh bergerak dengan hanya berjalan kaki atau mengayuh basikal.
Tinjauan penulis, yang juga gemar memancing puyu, di Jalan Kampung Salang atau juga dikenali Jalan Madu, Sempering, dekat Kangar adalah antara lokasi yang menjadi tumpuan pemancing wanita.
Salah seorang pemancing yang ditemui, Tahyah Shafie, 64, berkata, seingatnya, beliau mula memancing sejak zaman kanak-kanak lagi.
“Sudah lebih 50 tahun, inilah hobi wajib setiap kali selepas padi dituai,” katanya yang tinggal di Kampung Sempering.
Tahyah memberitahu, kalau di luar musim menuai, memang beliau duduk di rumah menjaga cucu-cucunya tetapi tidak akan melepaskan peluang jika tiba masanya untuk memancing puyu.
Manakala adiknya, Jamaliah Shafie, 64, suka dengan aktiviti memancing yang disifatkan mampu menghilangkan “stress”.
“Selain itu, hati gembira kerana dapat bawa balik hasil yang dipancing untuk dijadikan juadah pada hari itu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi kaki pancing wanita, Intan Sabu, 50, berkata, beliau akan berasa seronok apabila dapat melakukan aktiviti memancing ikan air tawar ini yang dianggap sebati dengan dirinya lebih tiga dekad.
Intan berkata, “Biasanya kalau saya memancing, ada rezeki, bolehlah dapat sehingga 40 ekor ikan puyu yang akan dijual jika ada pembeli,” katanya sambil tersenyum mungkin membayangkan ikan-ikan puyu yang berhasil dipancing.
Selain daripada menjadi sajian enak bagi penggemar ikan puyu, ada yang mengatakan, membela ikan puyu di dalam rumah mempunyai satu keistimewaan.
Menurut orang tua-tua, bagi mengelakkan dipukau, eloklah bela ikan puyu di dalam rumah. Benar atau tidak? Wallahhuaklam. – SM