JenayahNasional

Wanita penjawat awam ditipu sindiket Love Scam RM300,000

SEORANG penjawat awam wanita kerugian RM300,000 selepas diperdaya oleh sindiket Love Scam baru-baru ini. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 57 tahun dan masih bujang itu mendakwa, dia ditipu selepas bercinta dengan seorang lelaki kononnya dari Amerika Syarikat menerusi laman sosial Facebook.

“Setelah hampir sebulan menjalin hubungan cinta, suspek mula menceritakan kisah sedih yang menimpanya untuk meraih simpati mangsa.

“Mangsa yang mula percaya serta bersimpati dengan kisah sedih tersebut bersetuju untuk menghulurkan bantuan dengan memberi pinjam wangnya,” kata Noorzainy dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, wanita itu telah memindahkan wang miliknya secara berperingkat bermula pertengahan Oktober sehingga akhir Disember tahun lepas membabitkan 49 transaksi ke dalam 14 akaun bank tempatan yang diberikan oleh suspek.

Menurut Noorzainy lagi, sepanjang tempoh itu mangsa memindahkan wang sebanyak RM300,000 kepada suspek dan hanya menyedari dia ditipu apabila lelaki itu masih meminta untuk meminjamkan wang sedangkan mangsa telah memberi jumlah pinjaman yang banyak kepadanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik akaun yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kata Noorzainy. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button