NasionalRencana

Covid: Kes Januari 101,949 hampir mengatasi keseluruhan kes 2020

PEMULAAN 2021 yang suram dan membimbangkan di Malaysia bukan sesuatu yang dijangka oleh sesiapa pun.

Semua lapisan masyarakat bersikap optimis segalanya akan menjadi lebih baik ketika kita melangkah ke Januari, bulan pertama tahun 2021.

Bagaimanapun harapan yang disematkan dalam hati bahawa segalanya akan baik-baik sahaja hampir musnah begitu sahaja.

Dalam tempoh sebulan ini 101,949 kes baharu Covid-19 dikesan.

Pada 31 Disember 2020 jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 yang direkodkan adalah 113,010 kes. Hari ini 31 Januari 2021 jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan adalah 214,959 kes.

Ini bermakna kes baharu yang direkodkan dalam tempoh sebulan ini hampir menyamai keseluruhan kes yang dilaporkan tahun lalu.

Jumlah kematian akibat jangkitan itu dalam tempoh sebulan ini juga tinggi iaitu 289 kes iaitu lebih separuh daripada jumlah kematian yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Pada 31 Januari 2020 jumlah keseluruhan kematian yang dilaporkan adalah sebanyak 471 kes. Manakala jumlah keseluruhan kematian yang direkodkan pada hari terakhir bulan Januari, iaitu hari ini adalah sebanyak 760 kes.

Angka-angka jumlah kes dan kematian yang tinggi adalah begitu menyedihkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ketika ini jumlah yang sedang sakit menderita jangkitan Covid-19 dan sedang dirawat berjumlah 48,150 orang. Jumlah itu naik sekali ganda berbanding 23,598 kes yang dilaporkan pada hari terakhir tahun 2020.

Ketika ini, selama tiga hari berturut-turut sejak Jumaat lalu, jumlah kes baharu yang dilaporkan melebihi 5,000 kes.

Pada 29 Januari kes baharu yang dilaporkan adalah sebanyak 5,268 kes, semalam 5,728 kes dan hari ini 5,298 kes baharu dilaporkan.

Bilangan kematian juga melebihi 10 orang setiap hari sejak lebih seminggu lalu. Pada Jumaat lalu 16 kematian dilaporkan, semalam 13 kematian dan hari ini 14 kematian.

Adakah ia akan terus meningkat? Ini kerana jumlah yang dimasukkan ke unit rawatan rapi begitu tinggi iaitu 313 orang dan 127 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Kes pertama Covid-19 di Malaysia dicatatkan pada 4 Februari 2020. Bilangan kes Covid-19 meningkat dengan drastik selepas perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling yang berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac 2020.

Malaysia bagaimanapun berjaya mengurangkan kes pada Mei 2020. Jumlah keseluruhan sebanyak 7,819 kes dilaporkan pada 31 Mei 2020.

Apabila kes semakin reda, pada 7 Jun 2020 Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengumumkan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan diseluruh negara.

Kes meningkat dengan mendadak pada Oktober, selepas selepas Pilihan Raya Sabah yang tamat pada 26 September 2020.

Pada 30 September 2020 jumlah keseluruhan kes sebanyak 11,224 kes; 31 Oktober 2020 (31,548 kes); 30 November 2020 (65,697 kes); 31 Disember 2020 (113,010 kes) dan hari ini 31 Januari 2021 (214,959 kes).

Adakah masih ada harapan untuk kita semua?-SM

 

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button