Walta Group komited dengan pelaburan di Perlis
Walta Group sebuah syarikat tempatan dalam industri automasi dan pemesinan yang beroperasi di Pulau Pinang mengulangi komitmennya untuk melabur di negeri Perlis melalui penubuhan Walta Centre of Excellence (WCOE) 2 dan juga ‘Perlis Automation Cluster (PAC)’ tidak lama lagi.
Perancangan asalnya sebelum ini sedikit tergendala akibat penularan pandemik yang melanda dunia.
Pada masa yang sama kerjasama yang sedia terjalin olehnya dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan juga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) akan terus dipertingkatkan lagi.
Demikian dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Walta Group, Goh Kheng Sneah sebelum perasmian restoran ‘The Phat Bee’ di Plaza WCOE, Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada isnin petang.
Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut oleh Goh bersama-sama isterinya, Liong Swee Yen yang mengusahakan restoran berkenaan.
Terdahulu daripada itu, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan “Majlis Graduasi Dan Penempatan Pekerjaan Walta Centre of Excellence (WCOE) Kali Pertama” yang melibatkan seramai 18 orang graduan fari Perlis.
Mereka adalah dari kalangan keluarga asnaf terpilih di negeri Perlis yang lulus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Perkhidmatan Kejuruteraan Industri Automasi dan ditaja oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).
Menurut Goh lagi, pihak Walta Group juga komited sebagaimana dipersembahmaklumkan kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang mengimpikan negeri Perlis menjadi sebuah negeri maju dengan rakyat yang hidup sejahtera untuk menghasilkan “Syariah Compliance Medical Device” yang pertama di Perlis kelak.
Pada kesempatan yang sama Goh memaklumkan bahawa Walta Group mengucapkan ribuan terima kasih kepada para ‘pemegang taruh’ yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada kumpulan mereka termasuklah MAIPs, ATAM, UniMAP, Penang Development Corporation (PDC), Invest Penang, PAC, Pentamaster, Vitrox, PERKESO dan lain-lain lagi.
Sementara itu, Tuanku Raja Muda berharap dalam inisiatif pengambilan kemasukan anak-anak asnaf negeri Perlis di masa yang akan datang melalui bidang tenaga mahir seperti ini akan sentiasa berterusan dan lancar.
Baginda turut berharap supaya ibu bapa atau penjaga dapat memainkan peranan masing-masing bagi menggalakkan anak-anak mereka untuk terus meneroka bidang-bidang TVET bagi merancakkan lagi sektor perindustrian di negeri Perlis di masa hadapan.