Nasional

Waktu sukar seorang Perdana Menteri-tiada rehat buat Muhyiddin

TIADA hari rehat buat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan wabak COVID-19 setakat hari ini telah meragut 37 nyawa, dikusutkan lagi pertambahan 156 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini sebanyak 2,626 kes, berjawatan Perdana Menteri waktu ini bukanlah perkara mengujakan.

Apa lagi Muhyiddin baru saja angkat sumpah Perdana Menteri kelapan sebulan lalu melangkah ke Putrajaya dan Seri Perdana, terus pula masuk gelanggang pandemik ini.

Sesiapa mengenali Perdana Menteri cukup maklum beliau jenis orang yang bekerja. Berterus terang. Tiada hanky panky.

Hari ini Perdana Menteri terus bekerja demi memastikan rakyatnya segera bebas dari belenggu COVID-19 .

Menerusi perkongsian dalam akaun Facebook miliknya, Muhyiddin mencatatkan:

“Hari ini saya melawat kerja-kerja akhir penyediaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 ini dibina sebagai persediaan bagi menempatkan pesakit COVID-19 jika bilangan kes positif wabak itu terus meningkat dan mampu menempatkan sehingga 600 orang pesakit COVID-19 pada satu-satu masa.

Ia diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat ini ialah perkhidmatan klinikal, wad pesakit dalam untuk pesakit COVID-19, ruang “resuscitation” untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulan, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan X-ray dan perkhidmatan makmal patologi.

Kemudahan yang disediakan kepada pesakit termasuk katil, meja, kerusi, loker, TV, lounge, WiFi, komputer, surau, CCTV, tandas, ruang mandi, bilik persalinan dan ruang istirehat.

Bagi anggota yang bertugas pula, pusat ini menyediakan kaunter jururawat (nurse station), bilik rawatan dan kecemasan (treatment room/resuscitation room), ruang rehat anggota, bilik persalinan anggota dan ruang mandi termasuk ruang “Donning/ doffing” PPE (personal protective equipment) serta ruang mesyuarat dan seminar.

Pada ketika ini kapasiti di hospital COVID-19, Pusat Kusta dan Institut Latihan KKM adalah mencukupi untuk menempatkan pesakit COVID-19.

Penyediaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di MAEPS, adalah salah satu langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi penularan wabak ini.” – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button