Nasional

Dewan MAEPS jadi Pusat Rawatan dan Kuarantin pesakit COVID-19

DUA dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) akan dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan untuk merawat pesakit positif COVID-19 yang tidak bergejala serta bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pusat itu, yang akan siap petang esok, adalah sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku peningkatan secara drastik pesakit COVID-19 yang dijangka pada pertengahan April.

Memetik laporan BERNAMA, Beliau berkata sejumlah 600 katil akan ditempatkan di dewan MAEPS yang meliputi 400 unit di Dewan A manakala 200 lagi di Dewan B.

“Ini adalah satu persediaan, marilah kita bersiap sedia untuk menghadapi keadaan paling buruk. Lebih baik kita berada dalam keadaan yang cukup bersiap sedia daripada melakukan persediaan yang tidak mencukupi, jika kita tidak melakukan persediaan yang mencukupi, ini bermakna bahawa kita sebenarnya tidak bersiap sedia. Gunakan ini sebagai satu model.

“Kita siap sedia, kita ramalkan dalam pertengahan April ini mungkin ada kes mendadak, tapi setakat ini tindakan kita dari segi pembersihan, nyahkuman dan nyahjangkitan sedang dilaksanakan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pada peringkat permulaan, KKM memperuntukkan sejumlah 3,400 katil di semua hospital yang merawat COVID-19 di seluruh negara dan tambahan 1,892 katil di Institut Latihan KKM, menjadikan jumlah keseluruhan katil ialah 5,292.

Sementara itu, KKM menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengadakan lawatan ke MAEPS hari ini bagi meninjau persiapan pusat kuarantin tersebut. – BERNAMA

(Visited 523 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button