NasionalNegeriUncategorized

Wakaf Air usaha baik hadapi krisis bekalan air – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Wakaf Air wajar dilihat sebagai satu usaha yang baik bagi menghidupkan amalan kelestarian dalam kalangan rakyat terutamanya apabila negara menghadapi krisis kekurangan bekalan air.

Titah Baginda, sumbangan wakaf daripada orang ramai atau badan swasta boleh diuruskan dengan baik bagi membiayai projek pembangunan infrastruktur air berskala kecil seperti menggali perigi, membina empangan mini serta membeli peralatan untuk pengepaman, pemasangan paip, saliran, tapisan dan tangki takungan air.

Tambah Baginda, infrastruktur ini juga memastikan bekalan air kepada masyarakat akan sentiasa berterusan.

“Sekaligus ia dapat membantu menyelesaikan isu bekalan air, terutamanya di pedalaman dan luar bandar, yang lokasinya jauh daripada paip utama begitu juga fasiliti untuk pemantauan kualiti dan tahap pencemaran air berasaskan teknologi terkini seperti sistem pintar dan Internet pelbagai benda (IoT).

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Bersih Dan Terawat Sempena Program Pemacu Komuniti VentureTECH, Tahun 2022 di Kampung Lubuk Machang, Batu Bertangkup, Chuping, semalam.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi anakanda sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Asmaiza Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Malaysian Industry-Government Group For High Technology (MIGHT), Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman, Pengarah Urusan VentureTECH, Dr. Norida Abdul Rahman dan Pengarah Urusan ACME Chemicals (M) Sdn. Bhd. Fouzi Yunus.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Unit Perancang Ekonomi Malaysia, Datuk Dr. Zunika Mohamed, Pengerusi Bersama MIGHT, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Dalam titah, Baginda amat berbesar hati kerana negeri Perlis telahpun dipilih sebagai tapak projek Program PEMACU Komuniti pertama di Malaysia ini.

“Tahniah di atas kolaborasi hebat yang melibatkan usaha sama pihak VentureTECH bersama syarikat penerima pelaburannya, ACME Chemicals (M) Sdn. Bhd., Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis,” titah Baginda.

Dalam titah Baginda juga turut menzahirkan sekalung penghargaan kepada anakanda Baginda, Yang Amat Mulia, Sharifah Khatreena Nuraniah yang telah menjadi pencetus idea dalam menambahbaik infrastruktur bahagian pengairan ini.

“Yang Amat Mulia telah menjadi jambatan penghubung antara MAIPs dan juga VentureTECH bersama syarikat penerima pelaburannya, ACME Chemicals (M) Sdn. Bhd.,” titah Baginda.

Tambahan pula, titah Baginda usaha-usaha yang diterajui MAIPs selama ini seperti pengumpulan zakat dan sedekah telah membuahkan hasil apabila projek ini berjaya dilaksanakan bersama-sama dengan penyaluran daripada sumbangan-sumbangan tersebut, sekali gus telah meningkatkan taraf perkhidmatan sedia ada kepada seluruh warga komuniti setempat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button