fbpx
Politik

Wahai mamanda menteri, dengarlah nasihat ini!

 

KOMENTAR

BELUM terlewat untuk Suara Merdeka ucapkan tahniah kepada menteri-menteri dan timbalan menteri yang mendapat tempat dalam Kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dari tengah malam tadi hingga ke subuh ini pun, aplikasi WhatsApps beberapa menteri masih tertera “online”.

Hakikatnya, bukan mudah menganggotai Kabinet. Apa lagi waktu dulu-dulu.


Menyandang timbalan menteri ketika itu pun sudah cukup baik. Bak menang pingat emas Sukan Asia. Kalau menteri, lagilah emas Olimpiknya.

Pelantikan timbalan menteri contohnya pun suatu aperantis sebelum pelantikan menteri penuh – suatu matlamat akhir ahli-ahli politik dalam kerajaan.

Bila mengamati barisan Kabinet baharu petang semalam, Suara Merdeka terbayang-bayang di depan mata kelibat menteri-menteri yang lepas.

Semasa itu penulis pertengahan 20-an bekerja dengan sebuah akhbar Melayu yang cukup hebat, hampir tak menang tangan menangani aura menteri-menteri ini yang cukup berbisa – baik semasa menjalankan tugas-tugas rasmi mereka, mahupun ketika di luar lingkungan itu.

Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, Datuk Dr. Ting Chew Peh, Tan Sri Ong Ka Ting, Tun S. Samy Vellu dan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (mendiang) antara yang masih kekal dalam ingatan Suara Merdeka.

Kadang-kala meskipun dalam iklim politik penuh dengan ketegangan dan tidak menentu, mereka masih boleh bikin `lawak kering’ hingga tak kering gusi kami wartawan dibuatnya.

Begitupun mereka penuh karismatik dengan soalan-soalan diajukan, dijawab dengan yakin, bersahaja tetapi penuh fakta, isi dan sinikalnya.

Keng Yaik dikenali sebagai menteri ‘air liur’. Bukan bermaksud mendiang hanya pandai berjanji tetapi kerana air liurnya sering tersembur ketika bercakap atau berucap.

Mendiang menyedari hal ini hingga boleh membezakan wartawan di depannya itu wartawan baharu ataupun wartawan senior:
“You mesti reporter baru sebab ‘berani’ duduk depan saya, reporter lama mesti mau duduk jauh punya,” tergiang-giang di telinga Suara Merdeka ayat mendiang.

Samy Vellu pun lebih kurang macam Keng Yaik. Beliau pasti melayan dan menjawab setiap soalan wartawan biarpun ada ketikanya lif yang membawanya hampir tertutup.

“Tol naik sikit, marah sama saya. You ingat ini semua tol saya punya bapak punya kah?,” kata Samy Vellu dalam nada seloroh, hingga Suara Merdeka dan rakan-rakan media tergelak besar.

Semasa pentadbiran singkat tidak sampai dua tahun Pakatan Harapan (PH) tempoh hari, bukan sahaja Suara Merdeka malah banyak pihak terkejut dengan prestasi menteri, menteri besar dan exco yang kurang menyerlah.

Masih merangkak-rangkak, meraba-raba setelah setahun diberi peluang,

Pendek kata, macam langit dengan bumi lah hendak dibandingkan dengan menteri-menteri era 90-an, apatah lagi dengan senarai menteri sebelum pilihan raya umum ke-14.

Seingat Suara Merdeka, di peringkat timbalan menteri pun waktu dulu-dulu sudah menunjukkan potensi terbaik.

Ada beberapa timbalan menteri yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebelum diangkat menteri.

Megat Junid antara contoh yang baik seorang pemimpin yang bermula dari bawah. Bermula sebagai setiausaha politik kepada Dr. Mahathir pada 1974, beliau memanjat tangga terus ke jawatan menteri pada 1995.

Aura Megat Junid selaku timbalan Menteri Dalam Negeri ibarat suara Perdana Menteri yang memegang portfolio kementerian itu tetapi jarang mengeluarkan komen.

Dalam tempoh pelantikan sebagai timbalan, banyak perkara dipelajari dan dikuasai. Antaranya menjadi pendebat yang baik di Parlimen, belajar mengambil dan melaksanakan arahan, belajar menulis laporan politik dan kementerian, menguasai teknik bacaan laju dan menganjurkan aktiviti-aktiviti sosio-politik.

Begitupun ada individu terpilih dilantik terus jadi menteri `melalui tingkap, bukan pintu’ – Azalina Othman Said, Jamaluddin Jarjis (Allahyarham) dan Dr. Subramaniam.

Meskipun kes terpencil, namun tidak ditolak dalam politik vernakular, ia adalah benar-benar tuah politik atas dasar Perdana Menteri suka pada anda dan anda diberi jawatan tersebut.

Tetapi realitinya jua, tanpa memiliki kualiti yang diperlukan untuk memimpin dan berkomunikasi dengan baik, kerjaya dalam arena politik ini tidak akan bertahan lama – walaupun anda disukai Perdana Menteri.

Kerana mencari kriteria menteri yang bijak pandai jugalah, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum Mac 2004 mengulangi sejarah pelakunya terdahulu, melantik personaliti tertentu terus sebagai menteri.

Contohnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Tan Sri Amir Sham, Tan Sri Musa Mohamad (Pendidikan) dan Nor Mohamad Yakcop (Kewangan 2). Juga, dalam kabinet kerajaan terdahulu, Idris Jala (KPI-NKRA-Pemandu).

Bahkan, Suara Merdeka tidak boleh ketepikan `penangan’ beberapa setiausaha politik (polsec) yang cekap dan produktif sehingga menempatkan diri mereka sebagai menteri.

Tun Musa Hitam (bekas Timbalan Perdana Menteri), Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (Penerangan) dan Tan Sri Ong Ka Ting (bekas Presiden MCA/Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sebagai contoh, mewakili kategori berwibawa ini. Walaupun polsec dilantik oleh Perdana Menteri, beliau berkhidmat kepada menteri tertentu sepenuhnya.

Banyak kritikan yang rakyat dengari terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menteri-menteri dalam kerajaan PH tempoh hari.

Apabila calon PH dari DAP tumpas dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands Januari 2019, ada dalam kalangan sekutu parti mereka sendiri menempelak akan apa yang dilihatnya semasa kempen PRK itu, “para menteri dan timbalan menteri berkumpul di meja VIP dan tidak bergaul dengan rakyat”.

“Menteri-menteri, timbalan menteri dan pembantu politik tidak bersahabat dan tidak lagi bekerja keras macam zaman mereka jadi pembangkang.

“Saya terpaksa memberi markah yang rendah kepada menteri yang bertanggungjawab untuk pengeluaran makanan, bekalan, pengangkutan, harga, pemantauan dan penguatkuasaan.

“Harga makanan yang berpatutan menjadi isu. Orang tua dilaporkan mati kerana mahukan makanan percuma,” kata si polan berkenaan dalam tulisan blognya.

Elok menteri-menteri dan timbalan menteri yang baharu renung dan hayati sejenak catatan Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam bukunya “Kabinet 1Malaysia: Mengimbas Kembali Tadbir Urus Kabinet” (2006) mengenai kisah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memulakan hari pertama beliau melangkah masuk mesyuarat Kabinet selepas menggantikan Tun Hussein Onn pada Jun 1981.

“Sambil mengeluarkan sebuah buku nota kecil, Dr. Mahathir memulakan agenda hari itu dengan memberi syarahan pengenalan ringkas apa yang boleh dan tidak boleh, seperti “Ten Commandments” kepada menteri-menteri di Kompleks JPM, Jalan Dato’ Onn.

Antaranya, jangan menggunakan pengaruh kementerian untuk mendapatkan sesuatu untuk saudara-mara, kroni, apatah lagi untuk diri sendiri.

Juga, jangan menunjukkan kekayaan mereka. Dalam hal ini, isteri-isteri tidak boleh kelihatan menonjol dengan berlian dan barang kemas.

“Para menteri harus mempelajari kemahiran asas pengurusan supaya kementerian di bawah beliau boleh berjalan lancar seperti sebuah syarikat yang cekap,” demikian nukilan Rais yang berpengalaman berkhidmat di bawah enam Perdana Menteri.

Selamat bertugas para menteri dan timbalan menteri sekelian.

Tugas anda semua semakin mencabar, ketika rakyat kini menjadi pemerhati, pendengar dan penilai yang tegar.

– SM

Show More

Related Articles

Back to top button