Vivy Yusof nafi pertikai langkah kerajaan bantu B40
USAHAN, Datin Vivy Yusof menafikan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan langkah kerajaan memberi bantuan kepada golongan B40 dan M40 seperti tular dalam media sosial.
Vivy tampil memberi penjelasan menerusi Instagram (IG) Story dan mendakwa tidak pernah terfikir mengeluarkan kenyataan seperti itu, malah tidak menyangka masyarakat mempercayainya.
“Perkara ini timbul dalam siaran langsung Facebook (FB) Live, bukan FB saya. Saya tiada akaun FB, tetapi saya menonton ‘live’ itu.
“Saya tidak mempertikaikan pemberian bantuan kepada golongan berkenaan seperti didakwa. Sebaliknya, saya bimbang nasib akan menimpa ahli perniagaan dan pekerja disebabkan kelembapan ekonomi.
“Selain itu, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan golongan berkenaan tidak menyumbang kepada ekonomi negara menerusi FB Live itu,” kata Vivy.
Beliau turut memohon maaf secara terbuka kepada golongan B40 dan M40 yang tersinggung dengan kenyataannya.
Vivy berkata, tohmahan dilemparkan terhadapnya melampau, sejak tiga hari lalu.
“Ibu bapa dan suami terkesan dengan kecaman netizen. Ia amat berat untuk ditanggung kerana dikecam pada peringkat nasional.
“Saya bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belit kenyataan dan melancarkan petisyen minta saya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi MARA (UiTM),” katanya.
Kata Vivy, dia tak pernah memandang rendah kepada golongan B40 dan M40 seperti didakwa. Malah, dia tidak akan mengambil tahu nasib golongan berkenaan jika tidak menyayangi mereka.
“Saya tak akan ambil peduli atau menghulurkan bantuan sekiranya memandang rendah kepada golongan ini. Saya juga tidak akan mewujudkan tabung untuk mereka.
“Saya risau dan mengambil berat mengenai nasib mereka dalam keadaan sekarang. Mungkin kesilapan datang daripada saya.
“Saya banyak bermuhasabah sepanjang tiga hari ini. Saya akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan atau berkongsi dalam media sosial,” katanya.
Vivy berkata, insiden berkenaan menjadi pengajaran terbesar buatnya.
“Cuma agak kecewa kerana netizen mempercayai tanpa memeriksa kesahihan fakta sebelum berkongsi dengan meluas dan mengulang ciap di laman Twitter. Tak pasal mereka mengutip dosa.
“Saya pernah melakukan perkara sama apabila tidak memeriksa fakta sebelum berkongsi di laman sosial. Sejak itu, saya akan lebih berhati-hati,” katanya.
Vivy berkata, dia akan bangkit dengan semangat baharu, apatah lagi banyak pihak masih mempercayai dan memberikan semangat kepadanya.