Video Mohamaddin seloroh suruh pijak pengundi pura-pura pengsan dijangkiti Covid tular semula
VIDEO calon Warisan Datuk Mohamaddin Ketapi berseloroh meminta penyokongnya menendang dan memijak pengundi yang pura-pura pengsan di hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabah kembali tular di media sosial.
Video berkenaan menjadi kontroversi tiga hari lalu telah ditularkan semula oleh laman Facebook Tentera Troll Kebangsaan Malaysia.
Dalam video tersebut, Mohamaddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Segama berceramah tentang jangkitan Covid-19 di beberapa lokasi di Sabah.
“Kita jangan percaya, Pantai timur Sabah kalau kamu tengok dalam peta Sabah itu, oleh kerana kita kubu kuat Warisan di Pantai Timur Sabah, semua itu dikasikan warna merah, dia bilang kawasan ini bahaya, pasal dia bilang Covid.
“Bukan Covid, di kasi merah oleh kerana mereka itu takut kalah sama Warisan. Jadi merah itu bahaya untuk dia orang bukan bahaya untuk kita. Jadi kita jangan percaya.
“Kali ini saya dengar dua, tiga hari sebelum, akan di viral dia bilang akan menular, sangat serius Covid dia bilang di P188.
“Ada lagi mainan dia orang, kononnya pada hari mengundi itu ada orang disuruh pura-pura pengsan di situ. Pasal kena Covid konon.
“Kalau ada kamu nampak orang pengsan di situ bagus kamu tendang, pijak dia.Bukan Covid itu, wayang dia orang. Sandiwara.
“Jadi kononnya datang ambulans konon pergi mengangkat, jadi orang bertempiaran lari pasal itu Covid. Tau-tau orang itu dikasi duit suruh buat pura-pura pengsan di sana.
“Alang-alang dia pengsan bagus kamu pijak, tendang sama dia sekali,” kata Mohamaddin secara seloroh dalam video tersebut.
Sebelum ini media melaporkan, polis akan merekod keterangan bekas Menteri Pelancongan itu berhubung dakwaannya bahawa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu sebagai sandiwara selepas PRN Sabah.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata percakapan Mohamaddin akan dirakamkan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang berada di Sabah kerana penugasan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sebelum itu Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan sebanyak 72 laporan polis diterima di seluruh negara.
Mohamaddin telahpun memohon maaf atas kenyataan tersebut.-SM