
Lelaki Hidap HIV Ditahan Kerana Mencabul Wanita di Bazar Ramadan
SEORANG lelaki bertindak mencabul beberapa pengunjung wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan dengan alasan tidak melakukan hubungan intim sejak sekian lama akibat menghidap HIV positif sejak 13 tahun lalu. Insiden tersebut menjadi perhatian selepas rakaman perlakuannya tersebar luas di TikTok pada Selasa, memaparkan tindakan suspek yang sengaja melanggar wanita sebelum mencabul mereka.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, memaklumkan bahawa tiga wanita telah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, sebelum lelaki berusia 41 tahun itu berjaya diberkas di bazar berkenaan pada Rabu.
“Tiga mangsa tampil membuat laporan polis selepas klip video yang menunjukkan perlakuan suspek mencabul pengunjung wanita di tapak bazar menjadi tular di TikTok.
“Mangsa pertama berusia 26 tahun mendakwa dicabul pada 6 Mac, manakala dua lagi mangsa berusia 23 dan 27 tahun mengalami kejadian sama pada Isnin lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, semua mangsa mendakwa dicabul ketika sedang membeli juadah berbuka apabila suspek bertindak melanggar mereka secara sengaja dan menyentuh bahagian badan seperti dada serta punggung menggunakan tangan.
Mazlan turut memaklumkan bahawa kejadian tersebut dirakam oleh seorang pengguna TikTok dengan akaun bernama @zackrazbundle, yang kemudian memuat naik video berkenaan ke media sosial.
“Suspek mengakui terlibat dalam kes ini dan secara sengaja melanggar serta menyentuh bahagian badan mangsa,” tambahnya.
Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah lain. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, dan suspek telah ditahan reman pada Khamis untuk tindakan lanjut.