
Bank Rakyat Santuni 1,500 Keluarga Asnaf Sepanjang Ramadan
BANK Rakyat hari ini mengedarkan bakul makanan serta wang sumbangan bernilai keseluruhan RM300,000 kepada 1,500 keluarga asnaf di 50 lokasi seluruh negara. Inisiatif ini diadakan bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti setempat.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, berkata program bertemakan ‘Hulurkan Salam’ pada tahun ini mencerminkan komitmen berterusan bank dalam melaksanakan inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat melalui cawangan-cawangannya di seluruh negara. Antara lokasi yang terlibat ialah Selayang, Selangor; Jelutong, Pulau Pinang; Pontian, Johor; Gong Badak, Terengganu; Sandakan, Sabah; dan Miri, Sarawak.

“Bank Rakyat bukan sahaja berperanan dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang holistik, bahkan turut memberi sepenuh komitmen dalam inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Program ini merupakan salah satu daripadanya,” katanya.
Menurut beliau, program sumbangan bakul makanan ini kini memasuki tahun keempat penganjurannya dan mencerminkan usaha berterusan Bank Rakyat dalam memastikan kebajikan sosial masyarakat sentiasa diutamakan. Bank Rakyat menekankan nilai Malaysia Madani yang berlandaskan kesejahteraan dan ihsan, menjadikan aspek kebajikan sosial sebagai salah satu tunjang kekuatan operasi mereka.
“Setiap penerima akan menerima sebuah kotak makanan bernilai RM100 yang mengandungi keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak, gula, ketupat dan lain-lain, serta sumbangan tunai bernilai RM100. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban keluarga asnaf dalam menjalani ibadah puasa serta persiapan menyambut Aidilfitri,” tambahnya.

Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Bank Rakyat dalam menyantuni golongan memerlukan serta memperkukuh hubungan baik dengan masyarakat setempat, sejajar dengan nilai tanggungjawab sosial korporat yang diamalkan.