Nasional

Veveonah: Tim. Menteri dakwa dapat maklumat tidak tepat

TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa telah mendapat maklumat yang tidak tepat mengenai pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin.

Zahidi dalam satu kenyataan lewat petang tadi, memohon maaf kepada Veveonah berikutan tuduhan tidak tepat yang dilontarkan kepada pelajar itu dalam Dewan Negara hari ini.

Beliau juga berkata, akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti,” kata Zahidi.

Dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini, Zahidi berkata, dakwaan Veveonah bahawa dia terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkannya menduduki peperiksaan secara dalam talian adalah tidak benar.

Zahidi berkata, hasil siasatan mendapati Veveonah yang juga seorang Youtuber tidak menduduki peperiksaan ketika video tersebut dirakam.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu.

“Jadi, kita minta Yang Berhormat di kawasan yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang membangkitkan isu video Veveonah yang tular ketika bertanya tentang tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet di antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button