Hiburan

Mira Filzah kini menantu Timbalan Menteri

DENGAN sekali lafaz, pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, selamat bergelar isteri kira-kira pukul 8.58 malam tadi.

Majlis pernikahan Mira bersama Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30 itu diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Mira, Badioezaman Ab. Khalik sambil disaksikan Pendaftar Perkahwinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Abdul Nasir Abdullah.

Pengantin perempuan menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Satu daripad hantaran yang menarik dibalas Mira kepada Emir ialah seutas jam tangan yang dihantar khas ke Hong Kong.

Jam tersebut mengandungi nota pendek Mira terhadap suaminya yang diukir khas di bahagian belakang.

Lima daripada 11 hantaran Mira dibuat sendiri oleh nenek Mira yang kini berusia 81 tahun.

Antara hantaran tersebut ialah kek fondant, tepak sirih, sirih junjung, halwa dan biskut. Kek pernikahan Mira juga merupakan hasil air tangan nenek Mira sendiri.

Sementara itu, Mira ketika ditemui berkata, dia akan meneruskan kerjayanya seperti biasa walaupun sudah bergelar isteri.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan peminat selama ini dan doakan yang terbaik buat saya serta suami,” ujarnya.

Majlis pernikahan penuh meriah itu dihadiri 250 tetamu yang terdiri daripada keluarga, sanak-saudara, rakan terdekat dan pihak media.

Pada majlis bertemakan Mihrab Cinta itu, Mira menggayakan busana baju kurung Pahang rona putih rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini manakala wajahnya ditatarias jurusolek Yna Sakinah.

Emir yang juga anak sulung kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid telah menghantar rombongan keluarga untuk merisik pelakon filem Sangkar itu sebagai permaisuri hatinya pada Disember tahun lalu.

Majlis pertunangan mereka telah berlangsung pada 17 Julai lalu, manakala dua lagi majlis resepsi bakal diadakan pada esok hari di Le Meridian, Putrajaya dan diikuti di A-Park, Pulau Meranti, Puchong pada Ahad ini. –SM

(Visited 818 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button