Berita

Vaksin Influenza A: Pastikan hospital dan klinik kerajaan juga tidak putus bekalan – MPMMK

 

Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan perlu memastikan bekalan vaksin Influenza A sentiasa mencukupi di hospital dan klinik-klinik kerajaan seluruh negara.

Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Datuk Kapten (K) Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, langkah itu perlu bagi memastikan rakyat khusus golongan kurang berkemampuan dapat mengambil vaksin itu sekiranya dijangkiti virus tersebut.

Jelasnya, jangkitan virus influenza ketika ini mencetuskan kebimbangan di seluruh negara kerana ia semakin menunjukkan peningkatan dan telah pun menyebabkan kematian.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku ketika ini (peningkatan jangkitan Influenza A) akan menyebabkan suasana panik dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya membabitkan ibu bapa yang bimbang anak mereka dijangkiti virus itu.

“Jadi, MPMMK berharap, kerajaan perlu memastikan bekalan vaksin influenza bukan sahaja mencukupi di hospital swasta malah perlu cukup di semua hospital dan klinik kerajaan seluruh negara.

“Langkah ini penting kerana bukan semua rakyat Malaysia mampu untuk mengambil vaksin itu di hospital swasta yang memerlukan kos antara RM60 hingga ke RM120 untuj satu suntikan. Ada juga yang lebih tinggi daripada itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 13 Januari lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan meluluskan bekalan alternatif sebanyak satu juta tablet vaksin Influenza A kepada klinik swasta.

Kata Dzulkefly, jumlah tablet vaksin itu boleh memberi manfaat kepada 100,000 pesakit.

Menteri Kesihatan itu juga memaklumkan, analisa dibuat Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) terhadap jangkitan virus influenza yang menunjukkan peningkatan pada masa ini, mendapati ia bukan virus baharu.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, virus baharu atau tidak bukan persoalannya, apa yang menjadi kebimbangan rakyat berhubung vaksin sama ada mencukupi atau tidak dan berhubung harga untuk mendapatkannya.

“MPMMK ada terbaca di laman media sosial berhubung rungutan orang ramai tentang kesukaran mendapatkan vaksin itu kerana ketiadaan stok dan jika ada di hospital swasta pun harganya mahal, jika ini berterusan berlaku ia boleh menimbulkan suasana panik di negara ini,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu berkata, MPMMK berharap kerajaan melaksanakan situasi menang-menang berhubung isu vaksin influenza itu bagi memastikan semua pihak mendapat manfaatnya.

“MPMMK tidak mahu hanya satu pihak sahaja yang mendapat keuntungan tetapi pihak lain iaitu (rakyat) terutama mereka daripada keluarga yang kurang berkemampuan terbeban,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button