Vaksin COVID-19 Sinovac Pharmaniaga mula tembusi pasaran antarabangsa
PHARMANIAGA Berhad telah Berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan mengeksport kumpulan pertama vaksin COVID-19 ‘fill and finish’ Sinovac ke Myanmar.
Dalam kenyataan semalam, Pharmaniaga berkata vaksin tersebut dikeluarkan melalui kilang berteknologi tinggi yang diiktiraf oleh Kesatuan Eropah (EU) milik anak syarikat milikan penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS).
“Di Myanmar, vaksin COVID-19 Sinovac itu bakal dipasarkan oleh Hemas Mandalar Pharmaceuticals Ltd, sebuah syarikat famaseutikal di Myanmar yang telah membuat pesanan awal sebanyak 200,000 dos vaksin COVID-19 ‘fill and finish’ Sinovac dari Pharmaniaga.
Kedua-dua syarikat telah mentadatangani Memorandum Kolaborasi (MOC) untuk Pharmaniaga membekalkan vaksin COVID-19 Sinovac kepada dua buah hospital swasta milik Hemas Mandalar di Yangon. Penghantaran dilakukan setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan Myanmar.
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnanin Md Eusope berkata, kerjasama dengan Hemas Mandalar ini akan membantu mempercepatkan lagi program vaksinasi pasaran swasta di Myanmar.
“Penghantaran kumpulan pertama vaksin COVID-19 ‘fill and finish’ Sinovac kepada Hemas Mandalar ini adalah suatu kejayaan yang besar kepada Pharmaniaga. Pesanan 200,000 dos vaksin akan dihantar ke Myanmar secara berperingkat mulai 13 November lalu.”
“Peluang untuk bekerjasama dengan salah satu syarikat farmaseutikal terkemuka di Myanmar ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan perniagaan yang baharu sahaja terjalin dan ia dijangka akan membuka lebih banyak lagi peluang perniagaan baharu di negara itu.” katanya lagi. – SM