Nasional

Vaksin COVID-19 dihasil dalam masa setahun

PUTRAJAYA, 4 April —  Vaksin untuk COVID-19 dijangka berada di pasaran dalam masa  setahun dan kajian ke atasnya masih lagi di fasa awal, kata Ketua Pengarah Kesihatan  Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih lagi meneliti beberapa sebatian dan melakukan penyelidikan untuk membangunkan vaksin penyakit ini.

“Maka, ia mungkin mengambil masa kira-kira setahun atau setahun setengah sebelum kami memperoleh vaksin itu di pasaran.

Penyelidikan masih lagi berjalan dan diharap dengan melakukan penyelidikan, kami akan memperoleh vaksin secepat mungkin,” katanya dalam sidang media harian media mengenai COVID -19, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima beberapa pesakit COVID-19 yang telah sembuh dan dibenarkan keluar wad, untuk menjadi sukarelawan bagi penyelidikan berkenaan plasma darah.

“Ada dua, tiga pesakit, yang telah sembuh, tampil ke depan untuk menyumbang kepada sains dan teknologi.

Mereka mendermakan darah mereka untuk membantu KKM melaksanakan penyelidikan  dan sains untuk melihat kepekatan antibodi (yang akan digunakan untuk merawat pesakit COVID-19),” katanya.

BACA:

Beliau berkata KKM terlebih dahulu akan menyaring darah penderma (bekas pesakit) bagi memastikan ia bebas daripada jangkitan kuman lain seperti Hepatitis C dan sebagainya.

KKM juga akan sekali lagi melakukan test COVID-19 ke atas darah penderma bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada virus itu.

“Selepas itu, KKM akan mengambil darah mereka dan mengasingkan darah merah dan plasma. Plasma ini kemudiannya akan dihantar ke IMR (Institut Penyelidikan Perubatan) untuk dibuat kajian ke atas kepekatan antibodi.

“Prosedur ini akan diulang selepas dua minggu. Kalau antibodi tinggi, besar kemungkinan (KKM) akan guna plasma daripada pesakit (yang telah sembuh) untuk merawat pesakit lain,” katanya.

— BERNAMA

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button