Ada pemimpin ‘mensendirian berhadkan’ UMNO – Annuar
AHLI Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Annuar Musa mendakwa terdapat pemimpin UMNO yang mahu menjadikan parti itu seperti kepunyaan mereka sendiri.
Annuar berkata, terdapat beberapa penulis upahan yang berada di ‘menara’ ketika ini berusaha untuk mengadakan naratif bagi membenarkan perbuatan beberapa pemimpin berkenaan yang mahu menjadikan UMNO seolah-olah milik mereka.
Annuar yang dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Muafakat Nasional itu turut mendakwa, terdapat beberapa pemimpin UMNO telah melanggar dasar dan keputusan parti.
Bagaimanapun pemimpin terbabit terlepas daripada sebarang hukuman sebaliknya bebas membuat tuduhan terhadap pihak lain kononnya mahu ‘menjual’ UMNO.
“Beberapa tukang “penulis naratif “di menara, nampaknya sibuk dengan mereka-reka cerita untuk menghalalkan perbuatan beberapa pemimpin mesendirian berhadkan” parti.
“Dasar dan keputusan parti dengan mudah dilanggar dan mereka terlepas, tidak dikenakan tindakan malah makin bebas menuduh mereka mereka yang mempertahankan dasar dan keputusan parti sebagai yang nak menjual parti.
“Mereka ingat ‘dunia ini ana yang punya’ Mungkin kerana sudah terlalu lama memerintah dunia masih belum mahu berpijak di bumi nyata,” kata Annuar.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang nama atau pihak mana yang dituduh mahu mengawal UMNO dan menjadikan parti itu seolah-olah ‘milik’ mereka.
Sementara itu Annuar turut mengingatkan pihak berkenaan, untuk tidak menggunakan taktik menakutkan ahli kononnya parti UMNO memerlukan ‘watak’ untuk melindungi parti tersebut daripada bertukar menjadi PPBM atau Pas.
Annuar berkata, tidak ada satupun daripada 12 parti yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional sehingga kini telah bertukar menjadi PPBM mahupun Pas.
Menurutnya, ketika ahli ditakut-takutkan kononnya akan menjadi PPBM atau Pas, beliau berharap keadaan tidak menjadi sebaliknya iaitu UMNO bertukar haluan di ‘Anwarkan’ atau di ‘DAPkan’.
“Tak usahlah guna taktik menakut-nakutkan ahli kononnya kita perlu watak lindungi UMNO dari di PPBMkan”, di “Paskan”.
“Dalam kerajaan PN ada 12 parti bekerjasama. Adakah mereka di PPBMkan? Adakah UMNO Sabah di PPBMkan? Adakah UMNO Kelantan di Paskan?
“Apapun jangan pula UMNO di ‘Anwarkan’, di ‘DAPkan’ atau di ‘si anu anukan’,” sindir Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu.-SM