Nasional

Bantah darurat atau hanya cakap kosong? – Aminuddin

SEBELUM ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua Ahli Parlimen mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah Proklamasi Darurat.

Gesaan itu dibuat susulan Proklamasi Darurat tersebut dikatakan tidak bertepatan dengan fokus untuk menghadapi krisis kesihatan.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini gesaan Presiden PKR itu seperti dipandang sepi terutama dalam kalangan Ahli Parlimen Pembangkang.

Malah, tiada sesiapa yang secara terbuka memaklumkan telah mengutus surat kepada Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bagi menyatakan bantahan.

“Sudah hampir seminggu, apakah seruan Anwar itu tidak disambut?

“Kalau anda rasa anda benar, maka kenapa perlu berselindung dan ‘sorok-sorok’?

“Kerana akhirnya kita mahu tahu juga berapa ramai sebenarnya ahli parlimen yang membantah, atau hanya cakap kosong sahaja?”

Demikian sindiran Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya, dalam satu kenyataannya hari ini mempersoalkan tindakan seruan Anwar membantah Proklamasi Darurat.

Sebelum ini Ahli Parlimen Port Dickson itu menggesa Ahli Parlimen berbuat demikian supaya sidang Parlimen dapat diadakan dariapda digantung sehingga 1 Ogos.

Malah, pengisytiharan Ordinan Darurat itu turut mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk golongan profesional.

Mereka juga mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberikan nasihat yang salah kepada Agong supaya memperkenankan Perintah Darurat.

Selain itu, terdapat juga dakwaan mengatakan Proklamasi Darurat ini adalah bermotifkan politik kerana Muhyiddin dikatakan sudah hilang sokongan Ahli Parlimen.

Oleh demikian tindakan pengisytiharan Perintah Darurat itu adalah untuk memastikan beliau kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri dengan kuasa penuh tanpa ada sebarang tekanan politik.

Dalam pada itu, Aminuddin dilihat sekali lagi mencabar Ahli Parlimen yang sudahpun mengutus surat kepada Agong untuk mengisytiharkannya secara terbuka.

“Minggu lalu, sebaik sahaja Anwar ‘menyeru’ Ahli-Ahli Parlimen sama ada di pihak pembangkang mahupun kerajaan untuk beramai-ramai utus surat bagi membantah darurat kepada Agong.

“Saya ada mencabar agar siapa yang berbuat demikian untuk isytihar secara terbuka,” gesanya.

Pada 12 Januari lalu, Perdana Menteri membuat perutusan khas memaklumkan penguatkuasaan Perintah Darurat sehingga 1 Ogos 2021.

Beliau memaklumkan penguatkuasaan ordinan itu selepas menghadap Agong bagi mendapatkan perkenan beliau pada 11 Januari 2021 iaitu pada hari sama beliau mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

(Visited 291 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button