Nasional

UPSI tubuh FKMT perkasa pendidikan pendigitalan negara

PENUBUHAN fakulti baharu iaitu Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 28 November lalu sejajar dengan amanat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Noordin dan Pelan Strategik UPSI 2021-2023.

Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI yang beriltizam menjadi sebuah universiti berfokuskan tujahan pendidikan dengan moto “Peneraju Kebitaraan Pendidikan” menubuhkan FKMT bagi memenuhi Lima Rangka Tindakan Strategik 2022 meliputi kecemerlangan institusi, pemerkasaan pendidikan, kelestarian ekosistem, kemampanan penjanaan, keutuhan modal insan selain Pemerkasaan Akademik dalam pendidikan pendigitalan pendidikan negara.

Justeru, katanya, fakulti baharu akan dibarisi ahli akademik yang berkepimpinan dalam digital yang memiliki jaringan pintar dengan rakan antara fakulti bersama komuniti dan industri serta ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang kondusif.

Beliau berkata selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Kelima (5th Industrial Revolution, 5IR), penubuhan FKMT dianggap keputusan tepat dalam usaha mentransformasikan pendidikan di Malaysia melalui pencapaian baharu teknologi pendidikan yang melibatkan manusia dan mesin.

FMKT juga, katanya, akan memberi penekanan kepada penggunaan teknologi komputer untuk mengurus, memproses dan menyampaikan maklumat seperti perkakasan dan perisian yang boleh diaplikasi dalam pelbagai disiplin ilmu.

Selain itu, katanya, ia mencakupi bidang komputeran termasuk sains komputer, sistem maklumat, teknologi maklumat, kejuruteraan perisian, kejuruteraan komputer dan teknologi digital serta Meta-teknologi yang merangkumi bidang global seperti teknologi realiti maya, komputeran pintar, kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, dan teknologi terbenam.

“Kami percaya FKMT dapat menggalakkan aktiviti-aktiviti ilmiah fakulti, pelajar dan kakitangan yang berkaitan dengan pengajaran, penyelidikan, aktiviti-aktiviti intelektual, ekspresi kreatif, perkhidmatan, dan aspek-aspek ilmiah lain yang akan menyumbang kepada negara dan dunia.
Malah, katanya, FKMT berhasrat menyediakan kepelbagaian keseronokan dalam penemuan ilmu baharu dengan sokongan dan rangsangan intelektual masyarakat kampus yang majmuk di samping berkongsi keupayaan intelektual dan pengkhususan dengan individu, organisasi dan masyarakat di kawasan sekitar dan di kawasan lain secara responsif dan memberi pendidikan berterusan kepada orang awam untuk meningkatkan kemahiran kerja dan kualiti hidup mereka.

Pelajar mengikuti Bengkel Laravel di Makmal BYOD (Bring Your Own Device di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah

Beliau berkata peningkatan pelajar diploma hingga ke peringkat doktor falsafah yang menyaksikan persaingan teknologi IR5.0 serta penawaran kurikulum masa hadapan yang lebih kompetitif mendorong cabang ilmu itu dikembangkan selaras dengan hasrat KPT dalam menghasilkan lebih ramai bakat digital seperti yang digariskan dalam inisiatif Bakat Digital yang dikeluarkan oleh Majlis Dekan-Dekan ICT (MADICT).

Lima program pengajian sedia ada ditawarkan di peringkat pra siswazah adalah Diploma Sains Komputer (Komputeran Internet), Diploma Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan, Sarjana Muda Pendidikan Teknologi Maklumat), Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia), Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Reka Bentuk Berkomputer) dan Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan) manakala Sarjana Muda Sains Komputer dan Teknologi Internet Benda adalah program pengajian baharu akan ditawarkan secara 2u2i.

Seramai 50 pelajar ambilan pertama FKMT akan mengikuti program pengajian baharu iaitu Sarjana Muda Sains Komputer dan Internet Benda yang membabitkan pengaplikasikan teknologi sistem pengurusan pembelajaran, dan Internet Benda yang sesuai ditawarkan berdasarkan bidang tujahan pendidikan dengan integrasi bidang utama seperti Teknologi Maklumat, Sains Komputer dan Kejuruteraan Perisian, Teknologi Multimedia, Teknologi Simulasi, Teknologi Permainan Digital, Artificial Intelligent dan Realiti Maya dan IoT, Kejuruteraan Komputer dan Robotik.

“Di peringkat pasca siswazah, terdapat 11 program sarjana yang diklasifikasi sebagai non-manclature Sarjana Pendidikan, Sarjana Sains Dan Sarjana Reka Bentuk, manakala program Doktor Falsafah Pendidikan Teknologi Maklumat, Pendidikan Komputeran Internet, Pendidikan Multimedia, Kejuruteraan Perisian, Sistem Maklumat Dan Pengurusan, Interaksi Manusia-Komputer, Internet Dan Pengkomputeran Web, Kepintaran Buatan Dan Teknologi Reka Bentuk Berkomputer.

Menurut beliau, berbekalkan 56 akademia, pelaksanaan fakulti baharu ini menitikberatkan peranan akademia sebagai penasihat bagi projek komuniti dan industri melalui inisiatif kumpulan berfokus METAverse, META Gamifikasi, META Ideafactory, META Rangkaian Virtual, META RekaRia Imagineering, META IoT Hijau dan META Penyelidikan Pendidikan.

Beliau berkata dengan visi fakulti dalam membawa pengalaman pendidikan terbaik untuk semua adalah menjadi harapan seluruh warga UPSI untuk bersama-sama mencapai hasrat fakulti sebagai hub meta-teknologi dalam pendidikan di Malaysia dan di rantau Asia. -SM

(Visited 730 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button