UniMAP terus kerja keras tawar kursus menarik-Raja Muda Perlis
UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) terus berkerja keras bagi memastikan setiap program dan kursus yang ditawarkan bukan sahaja menarik serta terkini malah mampu memberi manfaat yang sangat besar terhadap masyarakat.
Sekaligus setiap program yang ditawarkan oleh UniMAP akan dipastikan relevan dengan kehendak pasaran pekerjaan bagi menarik lebih banyak pelajar lepasan sekolah melanjutkan pengajian di universiti ini.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyaksikan Majlis Sanjungan Budi Sempena Serah Tugas Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.
Keberangkatan tiba Baginda selaku Canselor diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.
Majlis tersebut diadakan sempena penghargaan atas segala sumbangan dan usaha Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Raja Datuk Azwane Raja Ariff atas segala jasa, sumbangan dan khidmat bakti sepanjang tempoh empat tahun dilantik menjadi Pengerusi LPU UniMAP bermula 5 Ogos 2019 hingga 4 Ogos 2023.
Raja Muda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Raja Azwane yang telah menunjukkan usaha dan kesunggahan dalam membantu menjenamakan nama UniMAP dan meningkatkan pengaruh universiti ini di mata pemegang taruh.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada Tan Sri Sufri Mohd Zin sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP yang baharu mulai 16 Ogos lalu bagi tempoh 3 tahun.
Baginda percaya lantikan Sufri bakal membantu meningkatkan keterlihatan UniMAP.
Titah Baginda, pengalaman Sufri dan ahli Lembaga Pengarah yang lain diharap mampu membantu UniMAP dalam penasihatan strategi dan kerjasama baharu dalam dan luar negara. – SM
BACA UniMAP naib juara Karnival Varsiti IMT-GT di Indonesia
BACA UniMAP pelopori pendidikan secara fleksibel – Pemangku Raja Perlis