BeritaPendidikan

UniMAP sentiasa berbangga dengan para alumninya – titah Raja Muda Perlis

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa berbangga dengan semua para alumninya, tidak kira di mana sahaja mereka berada atau bekerja. Teruskanlah lakukan yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakat, di samping membawa nama baik universiti ini ke persada dunia dan UniMAP akan sentiasa menyokong mereka semua.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-7 Istiadat Konvokesyen 15 universiti berkenaan di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada pagi tadi.

Di majlis tersebut sebanyak 276 orang graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) bagi Kejuruteraan Mikroelektronik, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Fotonik, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Perhubungan serta Kejuruteraan Rangkaian Komputer menerima anugerah masing-masing daripada Tuanku Raja Muda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengingatkan bahawa sesungguhnya alumni adalah amat penting kepada UniMAP. Salah satu bentuk sokongan kepada reputasi universiti ini adalah dengan menyuarakan pandangan positif daripada alumni. Alumni juga boleh bertindak sebagai ‘orang tengah’ antara UniMAP dan industri, dalam dan luar negara.

‘Penambahbaikan kurikulum pengajian fakulti juga boleh disumbang melalui idea dan kepakaran para alumni semua. Kembalilah ke UniMAP dari masa ke semasa, bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan di universiti ini dan sentiasalah menyayangi universiti kita semua ini iaitu UniMAP’.

GALERI

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button