UniMAP hantar misi bantuan awal ke Baling
UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengerahkan 15 sukarelawan sebagai misi bantuan awal ke Kampung Iboi, Kupang di Baling yang dilanda banjir dan kepala air dua hari lalu. Selain itu, misi ini akan mengenal pasti kawasan dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang terlibat.
Bagi melancarkan misi ini, dua kenderaan Toyota Hilux dan satu van digunakan bagi membawa bantuan makanan asas bernilai RM1,500 bagi disalurkan ke PPS dan juga dua pelajar UniMAP yang turut terjejas ekoran banjir tersebut.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, misi awal ini berfokus bagi memberikan sumbangan kepada mangsa banjir yang berada di PPS dan juga kawasan sekitar yang boleh diakses.
“Kami juga akan mencari dua pelajar UniMAP iaitu Izatul Najwa Abdullah dan Na’iman Mohamad Nawavi yang turut terlibat dalam banjir ini bagi mengetahui keadaan dan keperluan mereka.
“Manakala misi kedua dijangka pada 7 dan 8 Julai dengan penglibatan 100 sukarelawan menggunakan dua buah bas dan penumpuan bantuan adalah tugas-tugas pembersihan di kawasan kediaman penduduk setempat dan sekitarnya,” kata Mohd Fo’ad yang turut mengetuai misi bantuan ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Ops Kasih Banjir Baling, Kedah di sini, pagi tadi.
Majlis pelepasan tersebut telah dilakukan oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan dihadiri pengurusan tertinggi universiti.
Turut mengikuti misi ini ialah Pengarah Jabatan Keselamatan UniMAP, Mustaffa Ismail.
Tambah Mohd Fo’ad, UniMAP prihatin kejadian yang menimpa penduduk di Baling dan komited untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung penduduk.
“Saya berharap misi bantuan yang dilaksanakan oleh UniMAP dan rakan-rakan universiti serta NGO akan mempercepatkan proses agar penduduk dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Walaupun ada yang kehilangan ahli keluarga dan saudara mara, semoga mereka tabah dan kami di UniMAP sedia menghulurkan apa jua bentuk bantuan bagi mengurangi bebanan mereka,” katanya. – SM