Mahkamah

Suspek tikam ibu kandung hingga mati direman tujuh hari

SEORANG lelaki dipercayai menikam ibu kandungnya hingga mati di sebuah rumah di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka petang semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Suspek berusia 38 tahun mendapat perintah tahanan reman sehingga 12 Julai ini daripada Majistret Ayer Keroh, Mazana Sinin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang berpakaian lokap tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah kira-kira pukul 9.45 lagi dengan diiringi anggota polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang semalam, mangsa seorang pesara guru, Roziah Md. Dom, 63, ditikam di leher kanan dan kiri menggunakan pisau pemotong sayur oleh suspek yang juga anak sulung warga emas itu.

Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dalam bilik tidur oleh anak perempuannya yang juga adik kepada suspek.


Adik perempuannya kemudian keluar daripada rumah sambil menjerit meminta tolong daripada penduduk setempat.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap oleh penduduk kampung susulan daripada kejadian tersebut sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Dalam satu sidang akhbar semalam oleh Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, suspek bertindak kejam mendakwa terdengar bisikan bahawa ibunya menyembah berhala.

Menurutnya lagi, suspek juga pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Melaka dua tahun lalu selain mempunyai rekod penyalahgunaan dadah. – SM

(Visited 38 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button