BeritaPendidikan

UniMAP dapat anugerah lima bintang pembelajaran atas talian

Penarafan Lima Bintang bagi QS Stars Online Learning pada tahun 2020 menjadi bukti kukuh bahawa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berjaya melakukannya dengan baik dalam menawarkan pembelajaran secara dalam talian. Namun begitu, ruang untuk penambahbaikan akan sentiasa ada. Justeru, adalah menjadi kewajipan semua peringkat di UniMAP untuk terus berusaha ke arah itu di masa yang akan datang.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menerima sembah mengadap oleh Naib Canselor UniMAP yang baru sahaja dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi untuk tempoh selama tiga tahun berkuat kuasa mulai 9 Ogos 2021 sehingga 8 Ogos 2024 iaitu Leftenan Kolonel Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli melalui platform digital semalam.

Menurut baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP, dari aspek akademik, dapat dilihat pada tahun lalu, kemampuan universiti dalam menawarkan pembelajaran secara dalam talian kepada para pelajarnya benar-benar teruji dan mencabar.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Pada awalnya, keputusan mengaplikasikan sepenuhnya proses Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP) dengan menggunakan mod ini mengambil masa yang begitu lama untuk diperbincangkan dan timbul pelbagai halangan dan kebimbangan di kalangan semua dan ada juga yang sudah selesa dan terbiasa dengan kaedah konvensional sediada. Namun, Alhamdulillah, walaupun berhadapan dengan begitu banyak sekali cabaran dari segi teknikal, kapasiti, kemampuan dan ‘know-how’, situasi pandemik Covid-19 ini secara tidak langsung telah berjaya ‘memaksa’ kita semua melaksanakan proses PdP secara dalam talian’.

Sementara itu, Prof Zaliman memaklumkan bahawa UniMAP akan terus berusaha keras bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta mempergiat dan memperkasakan lagi pembangunan bakat dan kebolehan warganya bagi memacu hala tuju universiti ke arah yang lebih gemilang. Beliau juga akan berusaha untuk memastikan inisiatif ‘UniMAP Untuk Masyarakat’ atau juga dikenali dengan ‘unimap4society’ akan memberi kesan dan impak kepada komuniti dengan sebaik mungkin sepertimana yang dihasratkan.

Foto: Ketika Serah Terima Tugas NC minggu lepas

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button