Politik

Ketelitian Agong tangani kemelut politik negara

Ketelitian dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut politik negara, telah berjaya menurunkan suhu yang membuak-buak panas.

Selepas menerima peletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, Paduka Baginda telah melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri caretaker sehingga dilantik perdana menteri yang baharu.

Ini memboleh pentadbiran negara diteruskan dan pada masa yang sama mengelakkan daripada baginda kelihatan menyebelahi mana-mana pihak.

Baginda juga dengan segera memanggil menghadap ketua-ketua parti untuk mengadakan perbincangan dan selepas itu meminta mereka menyerahkan surat sokongan untuk melantik perdana menteri yang baharu dan membentuk kerajaan.

Pagi ini Baginda telah memanggil ahli-ahli parlimen dari fraksi yang mempunyai cukup jumlah sokongan majoriti ahli parlimen bagi menyatakan sokongan satu per satu secara bersemuka, manakala fraksi yang tidak mempunyai jumlah majoriti tidak dijemput.


Sepanjang proses itu juga Baginda turut dibantu oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong iaitu Sultan Perak.

Bahkan sebelum itu Baginda juga mendapatkan pandangan Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya kemungkinan sesuai diadakan pilihan raya dalam masa yang terdekat.

Esok pula Baginda akan mengadakan perbincangan dengan raja-raja Melayu mengenai pelantikan perdana menteri yang baharu dan selepas itu perdana menteri yang baharu pula perlu membuktikan keabsahannya di dalam parlimen yang akan bersidang pada bulan September melalui undi percaya.

Proses yang begitu teliti diambil oleh Yang di-Pertuan Agong menunjukkan kebijaksanaan baginda dalam menghapuskan segala keraguan dan kekeliruan.

Oleh itu pihak yang tidak terpilih menjadi perdana menteri dan kerajaan tidak lagi boleh mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sekaligus memastikan keabsahan dengan tuntas kerajaan yang dibentuk.

Selesai kemelut keabsahan kerajaan ini, Baginda juga telah menitahkan supaya tumpuan diberikan kepada usaha menangani krisis pandemik Covid-19.

Baginda juga dari awal mengingatkan kerajaan baharu supaya meneruskan inisiatif baik oleh kerajaan terdahulu termasuk dalam melaksanakan program vaksinasi bagi membentuk kekebalan kelompok seluruh rakyat negara ini dalam masa terdekat.

 

(Visited 68 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button