Politik

UMNO perlu gerakkan supaya PRU15 diadakan segera

UMNO perlu menggerakkan usaha supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera bagi mengembalikan kestabilan politik negara.

Pada masa UMNO juga perlu bangkit mengembalikan kedudukannya sebagai peneraju politik negara dan bukannya menjadi seperti malukut di tepi gantang sekarang.

“Perkara ini kita tidak boleh biarkan berterusan. UMNO perlu segera bangkit mengukuhkan kembali kedudukannya dalam teraju politik negara.

“UMNO tidak boleh sekadar menjadi pak turut atau hanya mengikut telunjuk orang lain hingga seperti menjadi budak suruhan. Dengan pengaruh dan kekuatan yang ada, antara agenda utama yang perlu digerakkan oleh UMNO ialah mendesak supaya diadakan segera PRU15.

“UMNO perlu gerakkan agenda supaya pilihan raya umum ke-15 diadakan sekarang. Situasi parlimen yang tergantung sekarang, di mana parti yang memerintah hanya mendapat majoriti sangat kecil tidak baik untuk negara.

Situasi ini tidak memberikan kestabilan kepada negara kita dan meletakkan politik negara sentiasa terumbang ambik.

“Tidak pernah dalam sejarah negara kita sejak merdeka perkara ini berlaku. Oleh itu mandat untuk memilih kerajaan perlu segera dikembalikan kepada rakyat. Biar rakyat yang membuat keputusan,” kata Perwakilan UMNO Bahagian Kota Setar, Datuk Ir. Guntor Mansor tobeng ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di Alor Setar hari ini.

Guntor berkata, beliau yakin rakyat telah belajar daripada apa yang berlaku pada PRU14 malah mereka juga telah belajar daripada apa yang berlaku di United Kingdom, Australia, Kanada dan Perancis, di mana majoriti kecil menyebabkan kerajaan tidak stabil dan terumbang-ambing serta tidak dapat memberikan fokus untuk rakyat dan negara.

Katanya, rakyat kena pastikan untuk PRU15 ini kerajaan yang bakal dibentuk perlu memiliki antara 65 peratus hingga 75 peratus sokongan supaya sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk.

“Hanya kerajaan yang stabil sahaja dapat memastikan negara ditadbir dengan elok, tumpuan dapat diberikan kepada usaha mengatasi kemelut yang berlaku dan memastikan kebajikan rakyat terjaga.

“Kita semua perlu belajar dan ambil iktibar daripada apa yang berlaku pada tahun 2020, iaitu tahun yang sepatutnya negara kita mencapai era kegemilangan, Tahun yang sepatutnya negara kita Malaysia mencapai status negara maju dan dihormati bukan sahaja di rantau ini tetapi seantero dunia.

“Tetapi apa yang jadi ialah Tahun 2020 merupakan tahun yang cukup malang kepada negara kita kerana politiknya tidak stabil. Isu Langkah Sharaton yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan hanya selepas 22 bulan mentadbir membuktikan majoriti yang kecil hanya akan membawa kepada ketidakstabilan pemerintahan negara.

“Kita semua tentu sedar bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu sekarang ini sentiasa berada dalam ketakutan kerana jika seorang dua sahaja ahli parlimen berpaling tadah, maka kerajaan akan tumbang.

“Kerajaan ini sangat rapuh dan boleh tumbang pada bila-bila masa. Dan kerajaan yang rapuh seperti ini tidak ada kemampuan untuk mentadbir negara dengan cekap kerana masa lebih banyak ditumpukan untuk memikirkan bagaimana untuk menyelamat kedudukan mereka dan bukannya untuk menyelamatkan negara.

“Kerajaan seperti ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat. Rakyat perlukan kerajaan yang stabil dan dihormati,” katanya.

Oleh itu kata beliau, adalah menjadi tanggungjawab UMNO untuk menggerakkan agenda supaya PRU15 diadakan pada kadar segera dan tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.

Katanya, mandat memilih kerajaan perlu dikembalikan segera kepada rakyat kerana kerajaan yang tidak stabil seperti mana yang berlaku hari ini hanya akan merugikan anak cucu pada masa akan datang.

“Anak cucu kita nanti yang akan menjadi mangsa,” katanya.

Malah kata beliau, ketidakstabilan politik ini jika tidak diatasi segeran akan menyebabkan Malaysia ketinggalan daripada persaingan dalam pembangunan dan pelaburan asing terutama kepada negara-negara yang masih mengamalkan autoritarian seperti Vietnam, Laos dan Singapura.

“Mereka ini tidak ada masalah politik dalaman, tumpuan mereka adalah kepada pembangunan negara, dan tidak mustahil mereka yang akan bangkit sebagai kuasa di Asia Tenggara meninggalkan kita.

“Cukup lah kita dengan kesilapan pada masa lalu yang kononnya untuk bereksperimen. Kita tidak boleh bereksperimen dalam memilih kerajaan. Kena pilih kerajaan yang kuat dan stabil dan yang terbaik adalah UMNO.

“Kita juga perlu sedar, jika PRU15 tidak adakan dengan segera, kedudukan UMNO juga akan terancam. Kita UMNO tidak boleh selesa dengan keadaan sekarang, kita perlu ada kebimbangan kerana jika PRU tidak diadakan pada kadar segera, dan rakyat pula selesa dengan apa yang berlaku hari ini, maka tidak mustahil parti yang kita cintai akan jadi tidak relevan pada rakyat terutama di Kedah ini.

“Kalau kita UMNO mengambil sikap tidak apa kerana yang memerintah sekarang juga adalah parti sahabat iaitu Pas, maka kita meletakkan UMNO dalam bahaya. Andai kata rakyat selesa dengan Pas hari ini, maka ia ibarat menggali kubur untuk UMNO,” katanya. – SM

(Visited 300 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button