Politik

UMNO perlu anjakan paradigma, dulu boleh letak tunggul nyor jadi calon

“KALAU letak tunggul nyoir pun sebagai calon Barisan Nasional, boleh menang. Sekarang sudah berubah, perubahan ini perlu ditangani supaya dapat diterima oleh masyarakat.” Begitulah kata-kata yang dilontarkan oleh Setiausaha UMNO Padang Besar, Perlis, Zaini Meh @Hussin dalam sesi perbahasan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU 2023) di World Trade Centre, Kuala Lumpur, pagi ini.

Mengimbas prestasi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, BN hanya memperoleh 30 daripada 222 kerusi iaitu 13.51% dikuasai di Parlimen. Cari formula baharu yang lebih relevan, katanya secara terus terang.

PARA perwakilan yang hadir hari ini di Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023) di World Trade Centre, Kuala Lumpur.

Zaini berkata, Kerajaan Perpaduan terdiri daripada 19 parti gabungan dan kita mesti hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Tuntutan yang sama juga di pihak parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, perlu menghormat UMNO sebagai parti teras orang Melayu.

“UMNO perlu menghormati parti-parti lain untuk menjaga keharmonian sama ada berteraskan berbilang kaum.

“Iltizam kita sama-sama untuk menghormati. Semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan bualaht anjakan paradigma untuk disesuaikan dengan keadaan politik semasa,” ujar beliau.

Beliau dalam ucapannya berkata, ujian pertama ialah Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

“Kita perlu berlapang dada menerima perubahan politik semasa. Kalau kita masih lagi ditakuk lama, adakah kita boleh menerima keadaan ini? Sama-samalah kita fikir dengan minda yang terbuka,” katanya.

Dalam Kerajaan Perpaduan, kata Zaini lagi, UMNO mesti bertindak mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Lakukan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan buatlah pemilihan yang terbaik. Selepas itu, jadikanlah MKT seperti biduk berlalu, kiambang akan bertaut.

“Kita memilih antara yang terbaik daripada yang terbaik dan walaupun dalam pemilihan itu, akan berlaku pergeseran-pergeseran kecil.

“Di peringkat MKT, diharap membantu Presiden dalam memimpin dan mengurus parti keramat ini menuju ke arah maju jaya,” katanya.

Beliau juga berkata, semua harus saling bekerjsama meningkatkan ke arah kejayaan dalam sebuah organisasi.

“Di peringkat cawangan, bahagian, negeri, ok tetapi di peringkat atas? Ada yang beri aura agak negatif. Dulu, perkara ini sudah terlepas. Kali ini tiada yang meragukan.

“Ramai ketua bahagian adalah ketua bahagian lama, jadi beri tunjuk ajar kepada ketua-ketua bahagian yang baharu. Bantulah apa yang boleh dibantu untuk sama-sama menaikkan UMNO,” tambah Zaini lagi.

Zaini yang merupakan seorang guru berkata, di Perlis, semua ketua bahagian adalah yang baharu walaupun hari ini, Perlis terdiri dalam kalangan orang muda yang memimpin untuk mengembalikan Perlis ke tangan UMNO.

“Dulu Perlis sering kedengaran, walaupun ada tiga bahagian tetapi berperang macam 30 bahagian. Kita tidak akan berlaku begitu, kita bersatu hati.

“Kepada pemimpin yang pernah memimpin di peringkat bahagian bahagian, berilah tunjuk ajar,” seru Zaini.

Dalam ucapannya yang menyatakan sokongan terhadap ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, Pendidikan sebagai modal insan kepada anak-anak.

Tvet, tahfiz al quran di peringkat tadika dan Tabung Pendidikan Melayu semasa dilancarkan pada PAU lalu, sepatutnya dilancarkan 20 tahun dahulu ketika UMNO Barisan Nasional berada di kemuncak.

“Tvet atau Latihan Pendidikan Vokasional yang ada hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama ke arah industri.

“Jadi, ibu bapa yang anak-anak tidak dapat masuk ke universiti, tidak mengapa menghantar anak-anak mengikuti Tvet kerana ini adalah pendidikan ke arah industri.

“Tvet di peringkat sekolah sebenarnya di sekolah rendah lagi sudah bermula dengan matapelajaran atau subjek RTB dan sebagainya…

“Di sekolah menengah, kolej vokasional di seluruh negara yang ada ini, Tvet adalah peluang cukup baik untuk anak-anak dalam pendidikan… Percayalah, tengok anak kita di mana. Dia minat pertukangan tangan ..hantarlah mengikuti Tvet.

“Tvet akan beri peluang pekerjaan kepada anak-anak dan permintaan daripada industri lebih baik dan peluang jadi usahawan pun ada,” jelas Zaini panjang lebar.

Tambah beliau, 9/10 rezeki ada dalam perniagaan dan pendidikan Tvet adalah sesuatu yang terbaik.

Secara lantang dan berdasarkan pengalaman peribadinya, Zaini mencadangkan agar tenaga pengajar yang mengendalikan sekolah-sekolah tahfiz, perlu berlatar belakangkan UMNO.

“Ditanam kebencian kepada parti UMNO, musuh yang sebenarnya. Cadangan pengajar yang akan dipilih untuk mengendalikan kelas-kelas tahfiz di peringkat tadika mestilah berlatar belakangkan UMNO.

“Sebabnya, depan ok, di belakang…

“Kena fikirkan siapakah pengajar itu? Mereka ini buat pemilihan, buat memang dah cantik tapi kita sebenarnya sediakan senjata untuk menentang kita, suatu hari nanti,” kata Zaini disambut dengan sorakan daripada para perwakilan yang ada dalam dewan pagi ini.

Beliau berkata, UMNO sudah banyak buat dan sediakan yang cantik dan terbaik tetapi peluang yang diberi adalah kepada orang yang tidak berada bersama parti itu.

“Mereka ini menjadi penentang kita yang akan jadi lebih bahaya. Tengoklah sekarang, lompat, keluar dari UMNO dan mereka ini adalah kawan-kawan kita dulu. Kawan yang paling baik ialah musuh yang paling bahaya,” katanya.

Beliau berkata, sedar atau tidak, UMNO menuju ke bawah tetapi dengan pimpinan Presiden parti, berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjadikan UMNO yang dibanggakan suatu hari nanti. –  SM

BACA Kementerian Pertahanan perkasa TVET dalam kalangan anak-anak tentera

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button