UMNO bersiap sedia untuk PAU2019
UMNO telah membuat persiapan rapi untuk perhimpunan agung tahunannya dari 4 hingga 7 Disember yang dikatakan akan menampilkan kelainan tersendiri.
Ruang legar dalam Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dihiasi dengan logo dan banting UMNO sebagai persediaan untuk Perhimpunan Agung UMNO 2019.
Namun, kemeriahan PAU2019 itu tidak ketara sangat di luar PWTC ekoran ia termaktub kepada peraturan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui media selepas selesai majlis perasmian Konvensyen UMNO Kelantan 2019 di Kota Bharu berkata, PAU2019 menampilkan kelainan yang tersendiri di samping bangkit sebagai sebuah parti yang mempunyai semangat yang baharu.
Katanya, ini kerana pada tahun ini fokus juga akan diberikan kepada menghidupkan Muafakat Nasional sebagai lanjutan daripada majlis menandatangani piagam UMNO dan Pas pada September lalu.
“Jadi kita bawa ke Perhimpunan Agung untuk diperbahaskan lagi oleh perwakilan dan sebahagian ucapan Presiden akan fokus kepada hala tuju Muafakat Nasional, harapan dan menawarkan tawaran-tawaran baru menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.
Selain itu katanya, perhimpunan agung pada kali ini telah dikembalikan tradisi sebelum-sebelum ini iaitu selama empat hari.
“Pada tahun lalu ia telah disingkatkan tetapi tahun ini Alhamdulillah UMNO telah pulih dari segi semangatnya, struktur organisasinya dan bangkit dengan semangat yang baru,” katanya.
PAU2019 juga katanya, akan mengundang badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat akar umbi, golongan muda dan juga kembali menjemput wakil-wakil negara luar.
“Kita mengundang pemimpin-pemimpin NGO, golongan muda termasuklah ahli Parlimen Belia, pemimpin mahasiswa universiti dalam negara dan luar negara, Majlis Belia Malaysia sampailah ke persatuan nelayan, pemandu teksi, pekebun kecil, peneroka dan sebagainya.
“Jadi ini antara kelainan yang ada pada hari ini. Ini adalah satu refleksi di mana Muafakat Nasional mesti didokong oleh rakyat akar umbi dan terbanyak. Lebih 500 perwakilan itu adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin tersebut.
“Kita juga kembali menjemput wakil-wakil daripada negara sahabat seperti duta dan sebagainya,” katanya.
Perbahasan juga katanya, akan lebih terbuka, di mana semua perbahasan dibuat secara ‘live’ (langsung) melalui Facebook bagi memudahkan semua pihak terutama media dapat membuat liputan.