BeritaNasional

Umat Islam ‘tidur’ kerana ulama – Hadi Awang

MASALAH utama dihadapi umat Islam adalah mereka ‘masih tidur dalam cahaya’ dan orang lain walaupun sedar tetapi ‘berada dalam kegelapan’, kata bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sambil menyeru supaya bangun melihat cahaya yang satu daripada Allah SWT, beliau menegaskan, majoriti umat Islam sedang mengalami kejahilan dalam agamanya sendiri, dengan hanya tinggal perkara ibadat, undang-undang keluarga dan sedikit perkara akhlak.

Keadaan itu katanya, menyebabkan ada dalam kalangan mereka beranggapan bahawa urusan dunia tiada kaitan dengan Islam dan terpengaruh dengan pemikiran serta cara hidup dunia barat.

“Ada dalam kalangan yang menganut dan berjuang menegakkan pelbagai ideologi dan teori barat ciptaan manusia dalam keadaan masih kuat beribadah, baik, tetapi sesat pemikirannya.

“Mereka masih lagi tidak sedar walaupun mengalami kegagalan demi kegagalan yang makin menambahkan masalah dan terus mundur ke belakang dalam segenap lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam tulisan  bertajuk Islam di Persimpangan Kejahilan Umat dan Kelemahan Ulama sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang disiarkan dalam Facebook.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas menjelaskan, kegagalan bertafaqquh dalam ilmu agama, menyebabkan para ulama hilang kemampuan untuk berijtihad terutama dalam hal-hal yang membabitkan permasalahan semasa.

“Sehingga masalah ibadah pun masih tenggelam dalam perbalahan dan perpecahan kerana perkara cabang, bukannya perkara dasar ibadah, rukun Islam dan rukun iman seperti masalah waktu niat, meletakkan tangan ketika solat, masa haid, nifas dan sebagainya selain perbalahan  perkataan istilah dan berbeza makhraj huruf yang diizinkan oleh sunah Rasulullah SAW,” katanya.

Jika sebelum ini kata Abdul Hadi lagi, para ulama yang berbeza pendapat masih boleh berguru dan belajar bersama selain bersolat dalam satu jemaah, malangnya kini mereka berpecah mengikut kumpulan masing-masing.

“Mereka memusnahkan negara sendiri, menghalang kemajuan bahkan ada dalam kalangan ulama berada di atas pentas musuh Islam, mungkin kerana jahil masalah semasa atau bersedia menjadi syaitan yang mengejar kemewahan dunia seperti disebut dalam firman Allah SWT,” ujar beliau.

Kegagalan memahami cabaran, menyebabkan para ulama tidak mampu membawa Islam yang sempurna, menjadi petunjuk dan penyelesaian masalah sepanjang zaman, katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button