Ulasan | Cabaran PM: Muhyiddin pandemik, Ismail banjir & Anwar tanah runtuh
Sejak dunia memasuki fasa akhir zaman, firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum ayat 41 semakin jelas ‘terhidang’ kepada seluruh hambaNya yang cukup lemah daya serta tidak berkuasa.
Dalam Surah ar-Rum ayat 41, Allah SWT berfirman dengan maksud:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya kembali (insaf dan bertaubat).”
Maka suka atau tidak, pemimpin negara yang sedia menggalas tanggungjawab dalam menjaga kebajikan, kesejahteraan dan keharmonian rakyat tidak terlepas daripada menerima ujian Allah SWT.
Dalam jangka pendek dari zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, beralih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masing-masing memulakan karier Perdana Menteri dengan ujian bala bencana.
Kenang sahaja semasa zaman apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamed ketika itu, sebaik sahaja beliau letak jawatan dan Muhyiddin menggantikan beliau, Covid-19 merebak.
Sepanjang tempoh pandemik tersebut, bukan sahaja angka rakyat Malaysia yang terkena jangkitan Covid-19 sahaja yang tinggi malah angka korban juga sangat menakutkan sebelum program vaksinasi diperkenalkan.
Kemudian apabila Ismail pula memegang tampuk kepimpinan negara, Malaysia diuji dengan banjir besar dan warga Twitter serta TikTok lantang mengkritik Perdana Menteri ketika itu.
Hari ini, semuanya seperti sedang diselesaikan dan dalam kemelut Anwar harus risau tentang usul undi percaya yang sepatutnya diputuskan pada Isnin, tragedi tanah runtuh dengan korban menggemparkan negara.
Maka rakyat berpeluang membuat penilaian awal sejauh mana kecekapan Anwar pula dalam menguruskan bencana dan ketika ini keluarga mangsa terkorban menerima pampasan RM10,000 dan yang terlibat namun terselamat akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) bernilai RM1,000.
Kesimpulannya, sesiapa sahaja yang akan naik sebagai Perdana Menteri, ujian yang cukup besar dan getir itu pasti akan berlaku namun sama ada ia berat atau sebaliknya, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahuinya!