Nasional

Ucapan perutusan khas Perdana Menteri sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021

ASSALAMUALAIKUM Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera

Apa khabar semua?

Saya doakan semuanya sihat wal afiat.

Alhamdulillah marilah kita semua merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT.

Kerana dengan izin-Nya esok kita akan meraikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Walaupun kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tarikh 1 Februari ini disambut secara maya tanpa mengurangkan sedikitpun signifikannya dalam kalangan rakyat Malaysia,

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan khususnya kepada semua warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Saya sedar akan realiti kesulitan kehidupan yang berlaku dalam kalangan rakyat yang bertungkus-lumus membina semula dan meneruskan kehidupan.

Sama ada golongan bujang, berkeluarga, kelas menengah, para petugas barisan hadapan, para pelajar, mahasiswa dan seluruh lapisan masyarakat.

Saban hari kerajaan mengikuti dengan rapat keadaan yang berlaku bagi memastikan ikhtiar bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasaran.

Di pihak kerajaan juga usaha diteruskan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindugan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.

Ini dibuktikan dengan Belanjawan 2021 yang telah memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Selain itu, untuk membuktikan bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, saya juga telah mengumumkan inisiatif Permai pada 18 Januari yangl lalu.

Pakej bantuan Permai ini adalah inisiatif kerajaan secara berterusan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pelaksanaan PKP.

Di antara inisiatif dalam pakej ini termasuklah mempercepatkan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional fasa terakhir, melaksanakan program bakul makanan dengan segera serta pemberian bantuan komuniti di bawah program GLIC, GLC, Disaster Relief Network bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus terpeliharan.

Selari dengan prinsip prihatin Kerajaan PN dan sebagai menyokong inspirasi Wilayah Persekutuan iaitu Wilayah Prihatin, saya bersyukur kehadarat Allah SWT kerana KWP telah mengambil pelbagai pendekatan yang inklusif dalam menangani kos sara hidup, kelangsungan hidup rakyat serta membasmi kemiskinan di Wilayah Persekutuan khususnya semasa Covid-19 dengan melancarkan program My5.

MyJob@Wilayah, MyGrocer@Wilayah, MyShcoolBus@Wilayah, MyMedic@Wilayah dan MyFood@Wilauyah.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada KWP kerana proaktif dalam melengkapkan inisiatif kerajaan dengan melaksanakan social safety net di Wilayah Persekutuan.

Hal ini konsisten dengan penegasan kepada rakan-rakan menteri Kabinet supaya segala inisiatif kebajikan rakyat mestilah dilaksanakan dengan segera.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada agensi kementerian iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan di atas inisiatif murni.

Bertepatan dengan strategi ini saya dimaklumkan bahawa pada tahun 2020 sahaja, lebih 35,000 orang dan ketua isi rumah serta 331 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur telah menerima langsung menerusi program kemiskinan bandar My5 iaitu inisiatif MyJob@Wilayah, MyGrocer@Wilayah, MyShcoolBus@Wilayah, MyMedic@Wilayah dan MyFood@Wilauyah yang dilaksanakan.

Berdasarkan tinjauan pendapatan isi rumah dan kemudahan asas 2019 oleh jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan garis kemiskinan atau (PGK) Nasional telah meningkat kepada RM2,208 sebulan bagi setiap isi rumah.

Ini bermakna lebih 400,000 isi rumah yang berpendapatan kurang daripada PGK ini telah tergolong dalam kategori miskin KWP secara tidak langsung turut menyediakan inisiatif-inisiatif yang memanfaatkan rakyat di Wilayah Persekutuan khsusunya.

Sehingga 31 Disember 2020 statistik data Perkeso merekodkan seramai 6,805 orang telah kehilangan pekeraan pada bulan Disember 2020.

Dari segi pencari kerja, seramai 53,869 orang direkodkan berbanding lebih 170,000 kekosongan jawatan.

Dalam usaha menangani masalah ini, saya difahamkan KWP menerusi MyJob@Wilayah telah menyediakan sehingga 3,259 pekerjaan di ibu kota iaitu 28 peratus lebih tinggi daripada sasaran asal.

Inisiatif pengambilan pekerjaan adalah meliputi pelbagai sektor dan industri.

Inisiatif MySchoolBus@Wilayah telah memberi bantuan kepada seramai 9,704 murid di 67 kawasan perumahan awam kos rendah yang melibatkan 94 orang pengendali bas sekolah.

My@Medic@Wilayah pula adalah perkhidmatan kilnik bergerak yang perkhidmatan rawatan asas secara percuma kepada warga kota yang kurang berkemampuan di kawasan perumahan kos rendah di Kuala Lumpur.

MyGrocer@Wilayah pula adalah aktiviti berkonsepkan pasar bergerak ke kawasan perumahan kos rendah melalui penjualan barang basah dan keperluan harian pada harga lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga di pasar awam.

Sehingga kini trak MyGrocer telah bergerak ke 30 lokasi perumahan awam dan perumahan rakyat di Kuala Lumpur.

Sementara MyFood@Wilayah adalah konsep bantuan bakul makanan yang diisi keperluan harian kepada golongan miskin bandar yang kini telah dimanfaatkan lebih 32,000 ketua isi rumah di Kuala Lumpur.

Bagi menambah baik inisiatif-inisiatif murni ini, saya dimaklumkan KWP akan melipat gandakan usaha dengan meneliti semula sasaran penerima bantuan bagi mengelakkan individu yang layak tidak tercicir kerana pada masa ini bantuan lebih banyak diberikan kepada penghuni PPR dan perumahan awam.

Pada hari ini juga saya turut ingin berkongsi satu berita gembira kepada penduduk di Wilayah Persekutuan.

KWP dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan, melalui program MyBeras@Wilayah akan mula menyumbangkan 5,750 kampit beras secara percuma setiap minggu kepada penduduk melalui kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula pada hari ini.

Walau bagaimanapun saya ingin mengingatkan, dalam proses pengagihan jangan lupa perlu kekal mematuhi SOP tertentu yang ditetapkan demi untuk menjaga diri kita daripada dijangkiti Covid-19.

Saya turut dimaklumkan sempena bulan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ini, pelbagai aktiviti menggunakan platform maya telah dirancang untuk diadakan.

Salah satu daripadanya adalah River of Life, Virtual Run sempena ‘KL Car Free Morning Program‘ yang dilaksanakan secara dalam talian sebagai salah satu awareness akan usaha kerajaan kepada masyarakat.

Ini adalah inisiatif yang amat baik dalam usaha membina masyarakat yang informatif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Sekali lagi syabas saya ucapakan kepada KWP yang cakna dengan amalan norma baharu dan terus berusaha menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat walaupun terdapat kekangan secara fizikal.

Saya berharap, segala pengisian program dan aktiviti yang dirancangkan ini akan menjadi platform dan pencetus kepada bagi penyertaan pelbagai pihak untuk meraikan bulan sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Kerajaan Perikatan Nasional, akan terus komited untuk melaksanakan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif sekali gus meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu.

Di Wilayah Persekutuan dan juga di seluruh negara, kita hendaklah meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.

Ini adalah hasrat yang telah kita nyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Program Kemiskinan Bandar My5 Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun 2021.

Wabillahi taufiq walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri

(Visited 817 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button